Thursday, November 26, 2009

Bekas pemain Perak hilang sabar

KESABARAN bekas pemain Perak menunggu gaji tertunggak semakin menipis menyebabkan kumpulan itu memberi tempoh sehingga 31 Disember ini kepada Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) untuk melangsaikan bayaran.

Kegagalan Pafa melaksanakan janji melunaskan pembayaran pada tempoh ditetapkan akan menyaksikan mereka membawa perkara itu kepada badan induk bola sepak dunia, Fifa.

Kumpulan itu mengadakan perbincangan baru-baru dan mencapai persetujuan mengadu kepada Fifa selepas turut gagal mendapat pembelaan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Selama ini kami bersabar tapi malangnya sehingga kini, tiada sebarang perkhabaran mengenainya.

“Malah kami dapati pihak terbabit berdolak-dalik dan cuba lepas tangan,” kata jurucakap kumpulan itu yang juga bekas penolong jurulatih, Mohamad Zakaria Mohamed.

Zakaria berkata sebelum ini mereka cuba mengamalkan sikap toleransi kerana tidak mahu mengaibkan Pafa serta menyusahkan persatuan itu.

Selain Pafa, Zakaria juga menyelar sekretariat FAM kerana gagal menjalankan tugas serta tanggungjawab dengan berkesan sebaliknya cuba menuding jari kepada orang lain.

No comments:

Post a Comment