Sunday, November 22, 2009

Penyokong Mesir merusuh, bakar bendera


KAHERAH - Para penyokong Mesir membakar bendera Algeria dan merusuh di depan bangunan kedutaan Algeria di sini, kelmarin. Mereka turut memecah tingkap kereta dan kedai berhampiran, selepas kalah pada kelayakan Piala Dunia kepada negara seteru utama dalam bola sepak.

Penyokong Mesir dan media negara itu diheret ke dalam kekalutan itu selepas laporan bahawa penyokong Algeria menyerang dan mencederakan penyokong Mesir selepas perlawanan kelayakan Piala Dunia di ibu negara Sudan, Khartoum minggu ini.

Pada perlawanan itu, Algeria 1-0, sekali gus memberikan mereka slot layak ke Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Beratus-ratus penyokong Mesir mengamuk di jalan-jalan sekitar kedutaan Algeria sepanjang malam dan bertempur dengan anggota polis pencegah rusuhan.

Rusuhan tersebut bermula dengan bantahan, dengan para penunjuk perasaan memukul gendang serta menjerit perkataan lucah terhadap rakyat Algeria.

Apabila polis menghalang mereka daripada menghampiri bangunan kedutaan, para penunjuk perasaan mula membaling batu, memecah tingkap kereta an kedai berdekatan, selain menggeledah stesen minyak.

Penyokong yang tidak dapat menghampiri bangunan kedutaan Algeria, membaling batu ke arah bangunan kedutaan India yang terletak berhampiran.

Menteri Dalam Negeri berkata, 11 anggota polis dan 24 penunjuk perasaan cedera, 20 orang ditangkap dan 15 kenderaan rosak.

Kelmarin, berpuluh-puluh penyokong berteriak dan membakar bendera berhampiran bangunan kedutaan, namun kemaraan mereka ke bangunan kedutaan dihalang oleh anggota pencegah rusuhan.

Di negara yang tunjuk perasaan politik jarang berlaku akibat tekanan pasukan keselamatan, bantahan oleh penyokong bola sepak Mesir itu merupakan satu suasana luar biasa apabila penyokong menunjukkan kemarahan mereka di jalanan.

Kawasan kejiranan tempat bangunan kedutaan Algeria, Zamalek di kawasan kepulauan di sungai Nil, merupakan kawasan kedutaan, sekolah, ekspatriat dan pelajar universiti asing.

Permusuhan kedua-dua negara dalam bola sepak sehingga membawa kepada keganasan bermula sejak minggu lalu.

Perlawanan di Khartoum diadakan selepas Mesir mengalahkan Algeria 2-0 Sabtu lalu di Cairo.

Sebelum perlawanan, Sabtu lalu, penyokong Mesir membaling batu ke arah bas yang membawa pemain pasukan Algeria dan mencederakan tiga pemain.

Selepas itu, 32 orang cedera dalam pergaduhan di antara penyokong Mesir dan Algeria.

Penyokong Algeria turut menggeledah pejabat syarikat-syarikat Mesir di Algiers. - AP

No comments:

Post a Comment