Saturday, November 28, 2009

Kelantan minat lamar Soley


SEPERTI belum berpuas hati, Kelantan meneruskan pemburuannya untuk mendapatkan khidmat beberapa lagi pemain berstatus bintang bagi mengharungi Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Terbaru, sayap lincah Perlis, Solehuddin Abdullah (gambar) atau lebih dikenali sebagai K. Soley dikaitkan dengan perpindahan ke Kelantan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, The Red Warriors bersedia menerima bekas pemain Kedah itu untuk menyertai Kelantan bagi musim 2010.

Bagaimanapun, Annuar berkata, beliau menyerahkan kepada pemain terbabit untuk berbincang dengan pihak pengurusan Perlis kerana dia masih mempunyai kontrak dengan skuad Singa Utara itu.

"Dalam usaha mewujudkan sebuah pasukan yang benar-benar mantap, kita memang memerlukan pemain seperti Soley kerana dia seorang pemain yang mantap dan bagus.

"Masalah nilai kontrak yang perlu dibayar Kelantan untuk mendapatkan pemain itu tidak timbul kerana dalam bola sepak, kita sanggup buat apa sahaja untuk mencapai kejayaan," kata Annuar semalam.

Sebelum ini, tujuh muka baru, Syed Adney Syed Hussain, Akmal Rizal Rakhli, Nurshahrul Idlan Talaha, S. Chanturu, S. Subramaniam, Shakir Shaari dan Azizi Mat Rose telah mengesahkan akan menyarung jersi Kelantan bagi musim 2010.

Annuar turut menyampaikan khabar gembira kepada pemain dan peminat pasukan Kelantan apabila The Red Warriors bakal beraksi pada Kejohanan Liga Juara-Juara Kelab Liga Singapura dan Liga Malaysia.

"Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga mencadangkan Kelantan untuk bertanding pada Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tetapi AFC masih belum menerima cadangan tersebut kerana Kelantan hanya berada di tangga keenam Liga Super musim ini," ujarnya.

No comments:

Post a Comment