Saturday, November 28, 2009

Robinho sudah sedia diturunkan menentang Hul


MANCHESTER - Robinho sudah bersedia untuk beraksi dengan Manchester City pada pertemuan dengan Hull City hari ini.

Mereka perlu menang dalam usaha memburu slot ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Penyerang Brazil itu telah berehat sejak penghujung Ogos lalu akibat kecederaan buku lali dan sejak kebelakangan ini sering dikaitkan bakal berhijrah ke Barcelona pada Januari depan.

Hasrat City untuk menduduki empat tempat teratas Liga Perdana England agak terjejas setelah mereka mencatat enam keputusan seri berturut-turut sejak Oktober lalu.

Namun pemain pertahanan City dari Argentina, Pablo Zabaleta berasakan Robinho bakal menampilkan peningkatan apabila dia kembali beraksi sekali gus memantapkan pasukan.

"Saya rasa Robinho harus kekal di sini. Dia pemain yang boleh memberikan kami lebih kualiti dan kehadirannya sangat bermakna buat rakan-rakan sepasukan.

"Saya harap kami akan terus bersamanya untuk tempoh yang panjang. Kami akan mencapai kejayaan jika kelab memiliki pemain seperti Robinho," kata Zabaleta.

Dengan kehadiran Robinho, Mark Hughes hampir berjaya mengumpulkan kesebelasan terbaiknya kecuali Kolo Toure yang cedera di bahagian belakang dan Martin Petrov yang mengalami kecederaan lutut.

Sementara itu, Hull pula bakal mendapat semula khidmat Jimmy Bullard yang direhatkan ketika mereka menewaskan Everton 3-2 pertengahan minggu lalu dan Craig Fagan yang sudah pulih daripada kecederaan.

Ini merupakan kali pertama Hull kembali ke Eastlands setelah mereka dibelasah teruk 5-1 oleh City pada musim lalu.

Namun Hull telah berjaya meledakkan lapan gol dalam tiga perlawanan terakhir mereka ketika ini.

"Kami perlukan keyakinan diri. Jika kita bersedia sepenuhnya, kita akan mendapat peluang itu.

"Keyakinan hadir menerusi keputusan perlawanan yang positif dan ia telah membuatkan kami kini beraksi dengan lebih bebas dan yakin," kata pengurus Hull, Phil Brown. - AFP

No comments:

Post a Comment