Sunday, November 22, 2009

Cantona bidas Henry

MARSEILLE - Bekas tonggak utama Perancis, Eric Cantona menempelak jurulatih kebangsaan negara itu, Raymond Domenech berhubung kontroversi Perancis layak ke Piala Dunia 2010.

"Saya rasa Domenech merupakan jurulatih paling teruk di Perancis selepas (Raja Perancis) Louis XVI," kata Cantona semalam.

Louis XVI telah disingkirkan oleh gerakan revolusi Perancis pada 1893 dan seringkali digambarkan sebagai seorang yang tidak pandai membuat keputusan dan serba tidak kena dalam pentadbirannya.

"Jika saya diberi pilihan, saya akan meletakkan Laurent Blanc (jurulatih Bordeaux) sebagai jurulatih kebangsaan Perancis.

"Blanc telah membimbing Bordeaux dan menang kejuaraan liga. Dia turut pernah menang Piala Dunia. Bukan saya seorang yang berfikiran sebegitu," kata Cantona.

Cantona turut mengkritik sikap Thierry Henry yang telah menggunakan tangan untuk membolehkan Perancis mendapat gol kemenangan ketika mengatasi Ireland pada aksi playoff kedua Piala Dunia 2010, Rabu lalu.

"Apa yang mengejutkan saya bukanlah insiden bola terkena tangan itu tetapi pada penghujung perlawanan apabila Henry pergi ke arah pemain Ireland untuk menenangkan mereka biarpun dia mengecewakan mereka tiga minit sebelum itu.

"Jika saya menjadi salah seorang pemain Ireland itu, sudah pasti Henry tidak memiliki masa biarpun tiga saat," jelas Cantona. - AFP

No comments:

Post a Comment