Monday, December 28, 2009

Setahun sudah berlalu


"SETAHUN sudah berlalu, mana bayaran tunggakan gaji kami?"

Begitu pertanyaan yang diajukan oleh bekas ketua pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar kepada Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) yang belum melunaskan tunggakan gaji bekas-bekas pemain Liga Super Perak sejak setahun lalu.

Shahrul yang mewakili 15 bekas pemain dan pegawai skuad Seladang bagi musim 2008 berkata, mereka sudah puas menunggu pembayaran tunggakan tersebut.

Selain Shahrul, Mohd. Hamsani Ahmad, Khalid Jamlus, Daniel Fadzly Abdullah, Chan Wing Hoong dan pemain-pemain lain masih menunggu pembayaran tunggakan gaji tersebut.

Penolong jurulatih, Mohd. Zakaria Mohamed dan Talib Saidi merupakan pegawai skuad Seladang yang belum menerima bayaran tunggakan gaji itu.

"Setahun sudah berlalu tetapi bayangan PAFA untuk melunaskan tunggakan tersebut masih samar," jelas bekas ketua pasukan itu di Ipoh semalam.

Beliau bersama-sama bekas pemain Perak tahun 1970-an dan 1980-an telah beraksi dengan pasukan pilihan Menteri Besar Perak dalam perlawanan persahabatan di Stadium Perak, Ipoh malam kelmarin.

Pasukan bekas pemain Perak telah mencatat kemenangan 3-2 ke atas pasukan Pilihan Menteri Besar Perak yang diketuai oleh Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.

Antara bekas pemain yang beraksi adalah Azizol Abu Haniffa, Roefandi Yusof dan Wan Ahmad Kamal.

"Kami cuma inginkan hak kami sahaja setelah memerah segala keringat dan berpenat lelah bagi mengangkat nama Perak," kata Shahrul.

"Inikah balasan yang kami terima setelah berjuang bermati-matian untuk Perak," tambahnya.

Beliau mendakwa PAFA berhutang lebih kurang RM500,000 kepada 15 bekas pemain dan pegawai skuad Seladang yang merupakan tunggakan empat bulan gaji.

"Kami amat terkilan dengan kenyataan Presiden PAFA, Datuk Seri Mohamed Nizar Jamaluddin yang menyatakan bahawa persatuan itu tidak dapat menjelaskan tunggakan tersebut kerana tiada sebarang tuntutan daripada kami," tegas Shahrul.

Katanya, mereka sudah menghantar beberapa pucuk surat kepada PAFA dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai masalah tersebut.

"Namun begitu, kami tidak menerima sebarang jawapan yang positif daripada PAFA dan FAM," jelas Shahrul.

Sebelum ini, Nizar berkata, tunggakan gaji bekas jurulatih, Steve Darby, tiga pemain import dan dua pemain tempatan berjumlah RM272,000 sudah dilunaskan melalui FAM.

Ketiga-tiga pemain import dari Chile itu adalah Carlos Caceres, Jorge Munoz dan Mario Barios serta dua pemain tempatan, Mohd. Hardi Jaafar dan S. Subramaniam.

Presiden PAFA itu mengakui penyelesaian masalah tunggakan gaji ke atas lima individu tersebut telah membolehkan Perak beraksi dalam Liga Super 2010 seperti yang disyaratkan oleh FAM.

Nizar menyatakan PAFA tidak dapat membayar tunggakan gaji pemain-pemain lain kerana tiada sebarang tuntutan daripada mereka.

"Tuntutan sudah dibuat dan kami berharap PAFA dapat membayarnya secara ansuran jika kantung PAFA tidak mencukupi," kata bekas ketua pasukan itu.

Shahrul berkata, mereka sedia berbincang dengan PAFA pada bila-bila masa bagi mencari jalan penyelesaian masalah tunggakan tersebut.

No comments:

Post a Comment