Wednesday, December 30, 2009

Kafa bincang atasi kelemahan di stadium

Pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan berbincang dengan Pengurusan Perbadanan Stadium Sultan Mohamed ke-IV di sini hari ini bagi menangani isu penonton menyelinap masuk stadium tanpa tiket untuk menyaksikan perlawanan bola sepak musim akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kafa, Tuan Hashim Tuan Yaakob berkata, Kafa juga akan menekankan isu kelonggaran kawalan pintu masuk stadium setiap sesi perlawanan termasuk perlawanan persahabatan bagi menghadapi musim baru Liga Malaysia 2010 ini.

“Kita akan mengadakan perjumpaan esok (hari ini) dengan pihak stadium bagi berbincang atau mengadakan post-mortem mengenai kelemahan dalam mengendalikan perlawanan bola sepak itu supaya ia tidak berulang,” katanya.

Tuan Hashim diminta mengulas mengenai saranan peminat bola sepak Kelantan agar Kafa menyiasat insiden pintu utama Stadium Sultan Mohamed Ke-IV dibolosi penonton yang tidak bertiket pada perlawanan persahabatan di antara Kelantan dengan Narathiwat FA, Sabtu lepas.

Mereka berpendapat kejadian itu mengecewakan kerana menidakkan hak penonton yang telah membeli tiket perlawanan.

Menurut Tuan Hashim, Kafa kerugian dianggarkan beribu-ribu ringgit kerana kejadian itu.

“Soalnya kita ingin mendapat penjelasan apa punca sebenar yang menyebabkan insiden itu boleh berlaku, kerana pintu utama itu biasannya hanya dibuka untuk kemudahan kenderaan pasukan keselamatan Polis Simpanan Ringan Persekutuan mengawal penonton dalam sesuatu perlawanan.

“Sedangkan pada perlawanan persahabatan (malam itu), kita tidak menggunakan khidmat anggota polis berkenaan, kecuali ia diperlukan,” katanya.

No comments:

Post a Comment