Tuesday, December 29, 2009

Ronny, Marzuki bentuk pertahanan mantap Penyu

Terengganu mungkin akan menjadi sebuah pasukan yang sukar untuk ditembusi menjelang saingan Liga Super yang bakal membuka tirai minggu depan apabila Ronny Harun bakal digandingkan di bahagian pertahanan bersama ketua pasukan, Marzuki Yusof.

Perkara tersebut telah dinyatakan oleh jurulatih mereka, Irfan Bakti Abu Salim yang menganggap pengalaman Ronny bakal membantu skuad Terengganu untuk mencatatkan keputusan cemerlang pada awal saingan musim baru ini.

Bagaimanapun, bekas jurulatih Perlis itu masih mencari kombinasi terbaik bukan sahaja di bahagian pertahanan malah di setiap posisi yang dianggapnya amat penting bagi mempersiapkan sebuah pasukan yang mantap.

"Jika di bahagian pertahanan saya melihat Ronny agak menonjol walaupun dia adalah pemain baru untuk musim akan datang selepas berhijrah dari Kedah, manakala pemain lain masih dalam proses untuk menyesuaikan diri," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Jelasnya, mereka sedang menghampiri persiapan terakhir dan perlawanan persahabatan seterusnya ialah menentang Pahang, Jumaat ini.

"Kami harus mempersiapkan pasukan sebaik mungkin kerana perlawanan pertama Liga Super 9 Januari ini adalah menentang naib juara Piala Malaysia musim lalu, Kelantan.

"Bagaimanapun saya lihat pemain sudah bersedia terutama sekali selepas mengharungi perlawanan empat penjuru baru-baru ini," kata bekas jurulatih Perlis itu.

Irfan berkata, beberapa kelemahan pasukan sudah dikenalpasti dan akan diperbaiki secepat mungkin sebelum aksi liga 2010 bermula.

"Semua ini telah dinilai dalam perlawanan empat penjuru di mana kami seri ketika bertemu KL Plus 2-2, menang ke atas Johor FC 2-1 dan seri menentang pasukan T-Team 1-1.

"Selepas saingan akhir kejohanan tersebut ketika kami kalah 2-1 kepada T-Team saya melihat kelemahan ketara pemain adalah dari faktor kecergasan.

"Januari ini kami akan mengharungi tujuh perlawanan dalam tempoh sebulan, oleh itu kami memerlukan pemain berada pada tahap kecergasan terbaik," katanya.

Selain Ronny, Terengganu telah mendapatkan lima lagi muka baru iaitu K. Rajan, Tengku Hasbulah Raja Hassan, Mohd Firdaus Mohd Faudzi, Joseph Kalang Tie dan Helmi Remeli.

No comments:

Post a Comment