Thursday, December 31, 2009

'Satu pengajaran berguna'


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia (PBSMM), Datuk Takiyuddin Hassan menganggap insiden keganasan penyokong pada final Puncak Piala Emas Raja-Raja 2009 di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Isnin lalu sebagai satu pengajaran berguna.

Menurut Takiyuddin, aspek keselamatan yang longgar ditambah sikap para penyokong itu sendiri menyumbang kepada berlakunya insiden yang dianggapnya tidak pernah berlaku dalam sejarah penganjuran kejohanan tersebut.

"Kawalan keselamatan yang longgar mungkin serba sedikit menjadi faktor tetapi sikap penonton yang tiada semangat kesukanan dengan menyerbu padang telah memburukkan lagi keadaan.

"Kita jadikan ini sebagai pengajaran untuk masa akan datang dengan tidak boleh mengambil ringan soal keselamatan semasa perlawanan dan perlu mendidik para penyokong.

"Tapi dalam masa sama, kita berasa gembira juga kerana penyokong memberikan sambutan hangat terhadap kejohanan ini, sesuatu yang tidak berlaku sebelum ini," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Ditanya adakah pihak PBSMM sudah menerima surat daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang meminta penjelasan pihaknya, Takiyuddin berkata, setakat petang semalam, mereka masih belum menerimanya.

"Tetapi kami akan minta Persatuan Bola Sepak Melayu Kedah (PBSMK) sebagai tuan rumah untuk menyediakan laporan dari segi persiapan dan keselamatan jika kami menerima surat daripada FAM itu. Kemudian kami akan balas semula penjelasan tersebut kepada pihak FAM," katanya.

Sementara itu, Takiyuddin menganggap saingan Puncak Piala Emas Raja-Raja edisi ke-69 kali ini sebagai berjaya dengan faktor utamanya ialah suntikan penajaan daripada Puncak Niaga (M) Sdn. Bhd.

"Kami jangka saingan musim 2010 nanti akan lebih menarik dengan kami merancang membuat beberapa perubahan dan kejutan. Lagipun Puncak Niaga akan terus menjadi penaja kejohanan ini pada tahun depan," ujarnya.

No comments:

Post a Comment