Tuesday, December 29, 2009

PBNJ tak bayar gaji pemain tiga bulan


SELEPAS barisan pemain Perak menuntut gaji tertunggak, semalam pasukan Johor pula tampil menagih tunggakan tiga bulan gaji yang belum dibayar oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ).

Salah seorang pemain Johor, Hardi Ahmad mendakwa, dia dan 24 lagi pemain pasukan itu hanya menerima gaji terakhir pada penghujung Ogos lalu.

"Bayangkan sudah empat bulan tunggakan ini berlarutan. Gaji yang tertunggak adalah untuk bulan September, Oktober dan Novem- ber.

"Saya mewakili rakan-rakan yang lain berharap PBNJ faham situasi kami yang mempunyai tanggungan untuk menyara keluarga.

"Saya benar-benar berharap tunggakan ini dapat diselesaikan segera," kata Hardi kepada Kosmo! semalam.

Kecewa dengan apa yang berlaku itu, Hardi, 30, terpaksa mengambil keputusan meninggalkan pasukan Johor dan menyertai Felda United bagi saingan Liga Malaysia 2010.

"Bukan saja gaji sebenarnya, bonus perlawanan juga termasuk dalam kontrak dan jumlah yang belum dibayar PBNJ kepada kami ialah RM4,000.

"Jadi secara keseluruhannya, PBNJ masih berhutang kira-kira RM20,000 kepada setiap seorang pemain musim lalu," jelas pemain yang berasal dari Kelantan itu.

Johor yang menduduki tangga ketiga Liga Perdana musim lalu bakal beraksi pada saingan Liga Super 2010 tetapi berikutan masalah tunggakan gaji, kebanyakan pemain musim lalu telah 'angkat kaki' meninggalkan skuad Jengking itu.

No comments:

Post a Comment