Saturday, December 12, 2009

Skuad bola sepak ke separuh akhir


Malaysia melakar kejutan terbesar apabila membenam juara bertahan, Thailand 2-1 pada perlawanan terakhir Kumpulan A untuk melangkah ke separuh akhir, semalam.

Ahmad Fakri Saarani menjadi pemusnah juara lapan kali berturut-turut Sukan SEA mulai 1983, Thailand apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan babak kedua apabila mudah menolak masuk bola hantaran lintang Norshahrul Idlan Talaha.

Thailand, yang tidak pernah gagal ke separuh akhir Sukan SEA sejak 36 tahun lalu, iaitu mulai Sukan SEA 1963, hampir menafikan hajat Malaysia apabila mendahului menerusi sepakan bebas Arthit Sunthorphit pada minit ke-52.

Namun, Mohd. Nasriq Baharom berjaya mengimbangi kedudukan dengan gol penyamaan pada minit ke-80.

Kemenangan itu membolehkan Malaysia muncul naib juara Kumpulan A dan akan bertemu juara Kumpulan B, Laos pada perlawanan separuh akhir Isnin ini.

Juara Kumpulan A, Vietnam pula bertemu naib Juara Kumpulan B, Singapura pada satu lagi separuh akhir.

Kali terakhir Malaysia memenangi emas acara bola sepak Sukan SEA ialah 20 tahun lalu.

Mengulas kemenangan bermakna itu, jurulatih kebangsaan K. Rajagobal berkata, dia memuji semangat para pemain yang tetap tenang walaupun beraksi di bawah tekanan setelah ketinggalan di babak kedua.

Katanya, tekanan memihak kepada Malaysia kerana perlu menang sedangkan Thailand hanya perlu seri untuk layak ke separuh akhir.

“Saya bangga dengan semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan pemain terutama pada babak akhir, khusnya selepas kita mendapat gol penyamaan.

“Ketika kedudukan seri 1-1, kelebihan masih memihak kepada Thailand, namun, pemain terus melakukan asakan dan akhir berjaya menjaringkan gol kemenangan.

“Apa yang kita capai hari ini berbaloi dengan kesungguhan pemain yang beraksi bermati-matian untuk memburu kemenangan,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Thailand, Steve Darby, berkata, dia tiada alasan terhadap kekalahan pasukannya kerana Malaysia bermain lebih baik.

“Sepuluh minit terakhir memusnahkan kami. Setelah Malaysia mendapat gol penyamaan, mereka tidak henti-henti mengasak dan akhir memperoleh gol kemenangan.

‘‘Saya bertanggungjawab terhadap kekalahan pasukan saya,” katanya.

No comments:

Post a Comment