Thursday, December 10, 2009

Peluang terbaik untuk atasi Thailand

Jika kita mahu mengatasi musuh ketat, Thailand, inilah masanya.

Itu kata jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, K. Rajagobal menjelang perlawanan terakhir Kumpulan A acara bola sepak yang akan menentukan hidup mati kita ke separuh akhir.

Keyakinan tinggi itu dilaungkan selepas menyaksikan kesungguhan para pemain membenam Kemboja, kelmarin.

Walaupun menang 4-0 ke atas skuad yang dilabel pasukan belasahan, ada keistimewaan yang diserlahkan oleh pemain pada perlawanan tersebut.

Semangat tidak kenal erti kecewa, sentiasa bergerak dalam satu pasukan serta kekuatan fizikal pemain amat ketara pada perlawanan tersebut.

“Inilah bekalan yang akan kita bawa apabila menentang Thailand nanti.

“Perlawanan dengan Kemboja membuktikan para pemain sentiasa memperbaiki permainan mereka di sepanjang perlawanan.

“Ketika menentang Kemboja, kita bergelut di babak pertama, sukar menembusi pertahanan mereka.

“Dalam masa yang sama, pertahanan kita juga terpaksa bekerja keras menyekat asakan Kemboja.

“Memasuki babak kedua, para pemain mula berubah, mendengar arahan, inilah yang membanggakan saya.

“Jika para pemain kita mahu ke separuh akhir, inilah masanya untuk mereka menundukkan Thailand,” katanya di sini, semalam.

Malaysia menduduki tangga ketiga dengan enam mata dalam Kumpulan A acara bola sepak.

Juara bertahan Thailand di tangga teratas dengan tujuh mata mengatasi Vietnam di tangga kedua berdasarkan perbezaan jaringan.

Perlawanan Malaysia-Thailand akan berlangsung di Stadium Utama Kompleks Sukan Nasional Laos pada pukul 4 petang waktu Malaysia.

Begitupun Rajagobal mengakui skuad bawah 23 Thailand, yang dibimbing oleh bekas jurulatih Perak, Steve Darby, masih merupakan pasukan yang baik.

Katanya, kelebihan Thailand adalah dari segi taktikal tetapi mereka kurang dari segi fizikal.

“Walaupun Thailand kemas dari segi taktikal permainan, kita tidak gentar. Kita juga ada kelebihan.

“Untuk mencapai sasaran ke separuh akhir, saya mahu pemain melupakan kekalahan 1-3 kepada Vietnam.

“Inilah peluang terbaik untuk kita mengatasi Thailand. Kita akan mendapat keputusan yang diharapkan jika kita bermain secara berpasukan,” katanya.

No comments:

Post a Comment