Thursday, December 10, 2009

Ronaldinho selamatkan Milan


Ronaldinho menyelamatkan AC Milan apabila sepakan penaltinya pada babak kedua berjaya mengikat FC Zurich 1-1 awal pagi semalam untuk membawa Milan layak ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara.

Kelab Itali itu harus berterima kasih kepada Real Madrid yang menewaskan Marseille 3-1 pada satu lagi perlawanan dalam Kumpulan C.

Zurich yang sudah pun tersingkir daripada persaingan berjaya mendahului Milan pada minit ke-29 menerusi sepakan percuma Milan Gajic.

Ronaldinho bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-65 menerusi sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil setelah Marco Boriello dijatuhkan Alain Rochat yang turut dilayangkan kad merah.


Milan menamatkan saingan dengan sembilan mata manakala Zurich hanya empat mata. Real di tangga teratas dengan 13 mata sementara Marseille di tempat ketiga dengan tujuh mata dan akan beraksi dalam Liga Europa.

Jurulatih Zurich, Bernard Challandes berkata, pasukannya tetap berbangga selepas dibelasah 5-2 oleh Real dan 6-1 oleh Marseille sebelum ini.

"Kami memang mengimpikan aksi di Liga Juara-Juara. Kami telah merasainya dan mahu menamatkannya dengan baik. Kami berpuas hati dengan keputusan seri ini," kata Challandes.

Jurulatih AC Milan, Leonardo pula menyatakan, pasukannya tidak beraksi begitu baik dalam perlawanan itu tetapi layak ke pusingan kedua adalah sesuatu yang lebih penting.

"Terdapat banyak faktor ketika beraksi. Kami memiliki ramai pemain yang mengalami masalah fizikal dan ia menyukarkan persiapan kami," kata Leonardo.

No comments:

Post a Comment