Friday, December 11, 2009

Kelemahan fizikal lawan senjata kita

Walaupun kalah, ada sesuatu yang boleh diambil daripada perlawanan dengan Vietnam, Ahad lalu yang boleh dijadikan senjata untuk menundukkan Thailand, hari ini.

Tonggak tengah pasukan kebangsaan, Shafiq Rahim berkata, keupayaan memberi tentangan terhadap kekuatan fizikal pemain Vietnam pada perlawanan tersebut boleh digunakan apabila berdepan Thailand yang sedikit lemah dari segi fizikal.

"Kelebihan Vietnam terletak pada kekuatan fizikal mereka dan kita berjaya menyaingi kelebihan tersebut ketika menentang mereka, Ahad lalu.

"Saya percaya jika para pemain mengambil kesempatan terhadap kelemahan fizikal Thailand, kita mungkin mampu menundukkan mereka.

"Saya juga dapati jentera serangan pasukan Thailand pada temasya kali ini tidaklah sebegitu kuat seperti mana skuad yang memenangi emas pada Sukan SEA 2007 di negara mereka sendiri," katanya.

Malaysia perlu menang ke atas Thailand jika mahu ke separuh akhir.

Skuad K. Rajagobal kini di tangga ketiga kumpulan A dengan enam mata, satu mata di belakang Thailand dan Vietnam.

No comments:

Post a Comment