Thursday, December 10, 2009

Rajagobal tidak mahu panik


Riak wajah jurulatih skuad bola sepak bawah 23 tahun negara (B-23) K. Rajagobal cukup tenang ketika beliau membawa anak-anak buahnya 'membaik pulih' kecergasan masing-masing di kolam renang Doa Chan Palace pagi semalam.

Rajagobal sedikit pun tidak menunjukkan tertekan menjelang pertemuan penting menentang Thailand pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional petang esok.

"Inilah sahaja jalan yang kita ada, tiada lagi pilihan. Sekarang, pemain saya kena meningkatkan kembali tahap kecergasan mereka sebelum bertemu Thailand Jumaat ini.

"Saya gembira kerana pemain sudah mula mendapat motivasi dan semangat mereka juga semakin tinggi selepas kami menang dengan Kemboja semalam (kelmarin).

"Saya harap pemain saya dapat mengekalkan mood yang ada sekarang sehingga hari perlawanan menentang Thailand nanti,"kata Rajagobal ketika ditemui semalam.

Dalam nada cerianya, Rajagobal juga tidak dapat menyembunyikan kekecewaan apabila tidak dapat menurunkan ayam tambatannya, Zaquan Adha Abd. Radzak yang tidak dapat beraksi menentang Thailand kerana menjalani penggantungan perlawanan.

"Zaquan masih lagi mengalami sakit mata dan pada masa yang sama, dia masih digantung satu perlawanan. Tetapi inilah masanya juga buat pemain penyerang saya membuktikan kualiti yang ada pada mereka.

"Saya percaya pemain yang lain masih mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan Zaquan. Buktinya, mereka telah menunjukkan kemampuan mereka ketika menentang Kemboja,"tambahnya.

Pada aksi menentang Vietnam Ahad lalu, Zaquan yang hanya dimasukkan sebagai pemain gantian disebabkan mengalami sakit mata, telah mengutip dua kad kuning dan secara automatik menerima kad merah.

Situasi itu menyebabkan Zaquan dikenakan hukuman penggantungan satu perlawanan.

Bagaimanapun, disebabkan tindakan penyerang Negeri Sembilan itu yang cuba menyerang pengadil dari Korea Selatan, Kim Jong Hyeok selepas tamat perlawanan, dia dikenakan penggantungan dua perlawanan.

Ketika ditanya mengenai percaturannya untuk berdepan dengan Thailand, Rajagobal menjawab: "Sudah pasti saya turunkan barisan terbaik. Kami mahu menang dan begitu juga dengan Thailand.

"Dalam sehari dua ini saya akan menilai tahap kecergasan pemain. Mungkin ada sedikit rombakan kecil tetapi misi kami tetap sama iaitu memburu kemenangan.

"Anda boleh melihat sendiri bagaimana saya melakukan perubahan ketika menentang Kemboja. Disebabkan Farizal Marlias (penjaga gol) tidak dapat beraksi kerana digantung satu perlawanan, saya tiada pilihan kecuali menurunkan Sharbinee Allawee.

"Begitu juga dengan K. Gurusamy dan S. Kunanlan yang beraksi dalam kesebelasan utama. Mereka telah menunjukkan mutu permainan yang baik. Dari sini, saya akan terus berbincang dengan pembantu saya sebelum membuat keputusan menurunkan kesebelasan utama kami," kata Rajagobal.

Ketika ini, Thailand dan Vietnam berkongsi tujuh mata untuk berada di tangga pertama dan kedua manakala skuad negara meraih enam mata hasil dua kemenangan dan sekali tewas.

Vietnam hampir pasti mara ke separuh akhir apabila dijadualkan menentang Kemboja dalam satu lagi aksi Kumpulan A sementara satu slot lagi menjadi buruan skuad negara dan juga Thailand.

Hanya dua pasukan terbaik Kumpulan A akan mara.

No comments:

Post a Comment