Tuesday, December 8, 2009

'Jangan buat kecoh lagi'


Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi amaran keras kepada skuad bola sepak lelaki bawah 23 tahun negara yang kini berada di Laos supaya tidak mengulangi tindakan luar kawalan dan mencetuskan kekecohan dalam kejohanan antarabangsa.

FAM bagaimanapun tidak memutuskan sebarang tindakan akan diambil ketika ini kepada skuad bawah 23 negara itu setelah beberapa pemain bertindak melampau ketika menentang skuad Vietnam di Sukan SEA Laos, kelmarin.

Timbalan Presiden FAM, Khairy Jamaluddin menegaskan, badan bola sepak negara itu akan hanya membuat keputusan untuk mengambil sebarang tindakan selepas meneliti laporan daripada pengurus dan jurulatih pasukan kebangsaan sebaik sahaja skuad itu tiba di Malaysia nanti.

Katanya, FAM kini masih menunggu laporan terperinci berhubung insiden beberapa pemain negara yang bertindak menyerang pengadil perlawanan, Kim Jong Hyeok dari Korea Selatan ketika pasukan kebangsaan menentang Vietnam.

"Pemain negara melakukan serangan ke arah pengadil kerana mutu pengadilan yang teruk dan beberapa keputusan yang dibuat oleh pengadil perlawanan adalah tidak munasabah, malah menimbulkan keraguan.

"Tindakan pengadil dari Korea Selatan itu membuatkan pemain Malaysia beremosi dan berasa marah.

"Meskipun begitu, FAM tidak menghalalkan tindakan para pemain melakukan serangan ke arah pengadil. Ia satu tindakan kurang bijak dan boleh memalukan nama negara.

"Sehubungan itu, FAM akan hanya mengambil tindakan selepas berakhirnya persaingan di Laos dan menerima laporan daripada pengurus serta jurulatih negara," katanya pada sidang akhbar selepas berakhirnya mesyuarat Exco FAM, di sini, semalam.

Sebelum bermulanya sidang akhbar tersebut, Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah berkenan untuk menyerahkan wang ganjaran persaraan kepada tiga bekas pemain bola sepak negara.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Che Mat Jusoh.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, FAM telah meminta jurulatih negara, K. Rajagobal dan Timbalan Presiden FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad yang juga pengurus pasukan untuk memberi amaran kepada pemain dan memastikan perkara seumpama itu tidak berulang.

Katanya, Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA XXV, Laos Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz yang turut menyaksikan pertemuan Malaysia dengan Vietnam tersebut turut melahirkan rasa kurang senang.

Jelasnya, Dr. Ramlan turut tidak bersetuju dengan beberapa keputusan yang telah dibuat oleh pengadil dari Korea Selatan itu di sepanjang perlawanan.

"FAM akan mengkaji sebarang tindakan selepas pasukan ini tiba di Malaysia dan menerima laporan penuh daripada pengurus serta jurulatih.

"Namun, kita tidak boleh menghukum seluruh pasukan kerana tindakan seorang dua pemain. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

"Pemain Malaysia tidak pernah ada rekod buruk sebelum ini dan mereka juga sangat berdisiplin. Saya tidak mahu perkara ini didahulukan ketika ini, sebaliknya FAM perlu melihat laporan penuh," ujarnya.

No comments:

Post a Comment