Tuesday, January 5, 2010

Jurulatih berbelah bagi skuad bola ke luar negara

Cadangan membawa skuad bola sepak Bawah 23 tahun menyertai liga bola sepak di Eropah mendapat sokongan jurulatih pasukan bola sepak negeri, walaupun meramalkan ia bakal merencatkan kehangatan saingan bola sepak tempatan.

Mereka berkata, pendedahan saingan bola sepak peringkat tinggi dalam liga Eropah akan memantapkan lagi skuad yang memenangi pingat emas pada Sukan SEA XXV di Laos baru-baru ini.

Jurulatih Selangor, K. Devan berkata, cadangan tersebut kena pada masanya kerana reputasi liga bola sepak England yang begitu tinggi.

Bagaimanapun, Devan meminta keputusan itu dikaji sebaik mungkin oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memandangkan Liga Malaysia 2010 bakal memulakan persaingan Sabtu ini.

''Sepatutnya persiapan bagi perancangan itu dilakukan lebih awal kerana ia akan memudahkan skuad negeri yang kini terjejas untuk mencari pemain pengganti yang sesuai.

''Tambahan pula jika ia dilakukan sekarang, kami di Selangor tidak boleh lagi mengambil mana-mana pemain kerana tarikh pendaftaran pemain bagi setiap pasukan sudah ditutup,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut Devan, Selangor bakal terjejas teruk kerana kehilangan enam pemain sekiranya cadangan itu dilaksanakan.

Beliau juga menambah, mutu permainan Liga Malaysia boleh menurun secara tidak langsung di samping menghilangkan rasa minat penonton untuk hadir ke stadium.

Sementara itu, jurulatih Perlis, Mohd. Nidzam Adzha Yusof berkata, dia menyifatkan langkah menghantar skuad negara ke luar negara tidak kena pada masanya.

''Cadangan itu terlalu drastik kerana ia ternyata boleh menjejaskan rentak pasukan negeri yang dianggotai ramai pemain Bawah 23 tahun negara.

''Seperti Perlis, kami telah melakukan persiapan yang cukup rapi bagi menghadapi Liga Super Sabtu ini bersama-sama empat pemain negara yang berada di dalam pasukan," katanya.

No comments:

Post a Comment