Monday, January 4, 2010

Gagal lahirkan pemain berbakat

PETALING JAYA - Persatuan negeri dan kelab dicabar supaya mencungkil bakat baru yang boleh diketengahkan ke skuad negara berbanding hanya mengambil jalan mudah dengan terus mendapatkan khidmat pemain terkenal yang telah dilatih oleh badan induk bola sepak negara itu.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Redzuan Sheikh Ahmad berkata, FAM tidak mahu dipandang bersifat 'pilih kasih' kepada pihak tertentu dalam melatih dan mengasuh pemain negara.

Sebaliknya, kata beliau, persatuan negeri memerlukan prinsip saling menyumbang kerana pada akhirnya, skuad kebangsaan akan terus berjaya serta kualiti pemainnya semakin tinggi apabila bersaing di arena antarabangsa.

Tegas Redzuan, selama ini persatuan negeri dan kelab hanya tahu mengambil 'bulat-bulat' pemain kebangsaan didikan FAM, sedangkan banyak peruntukan kewangan tahunan yang telah disalurkan bagi pembangunan bola sepak peringkat negeri tetapi masih gagal menampilkan bakat baru.

"Dahulu kami di FAM penat-penat melatih pemain, ada negeri yang secara mudah mahu balik khidmat mereka.

''Di mana pemain yang betul-betul persatuan negeri cungkil dan lahirkan untuk dipilih mewakili negara?

''Ini bermakna tidak berlaku proses timbal balik, jadi lama kelamaan, liga kita masih di takuk lama dan skuad kebangsaan terus gagal.

"Ada juga pemain didikan FAM yang apabila kembali ke negeri atau kelab asal, merosot tahap kecergasan mereka sehingga cuma sekitar 60 peratus untuk dibawa bermain ke peringkat antarabangsa.

''Kali ini saya cabar persatuan negeri dan kelab supaya latih dan cungkil pemain yang lebih baik daripada skuad Sukan SEA XXV untuk dipanggil ke skuad negara," katanya.

Beliau menghadiri majlis penghargaan skuad Bawah 23 negara yang menjuarai acara bola sepak Sukan SEA XXV di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong; Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Aziz dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad.

Mengenai anak buah K. Rajagobal yang mengakhiri kemarau emas 20 tahun pada temasya dwi-tahunan, kata Redzuan, faktor utama pencapaian itu ialah hasil perancangan FAM sejak kejohanan peringkat belia di Palembang, Indonesia pada 2004.

Skuad emas itu juga mendapat pendedahan peringkat antarabangsa di China, Slovakia, Brazil, Australia dan Vietnam.

Sementara itu, mengenai cadangan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek supaya mengekalkan skuad juara Sukan SEA itu dan melarang mereka daripada kembali bermain dengan pasukan negeri atau kelab asal masing-masing, Redzuan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal FAM bagaimanapun menganggapnya sebagai sudah terlewat.

"Mengekalkan pemain di bawah naungan FAM sudah pun diterapkan pada dua lagi pasukan, Harimau Muda A (bawah 21 tahun yang dilatih Azraai Khor Abdullah) dan Harimau Muda B (bawah 18 tahun dilatih Ong Kim Swee). ''Pasukan A akan dihantar bermain sebuah liga luar negara (sedang dirunding dengan Singapura, Slovakia dan Turki), manakala B bermain dalam Liga Perdana.

"Mereka juga akan menjadi pengumpan ke skuad senior kebangsaan dalam beberapa tahun lagi," katanya.

Katanya, beliau menyedari harapan pelbagai pihak semakin tinggi apabila menghadapi misi antarabangsa yang lebih besar selepas ini seperti Sukan Asia (November) dan Piala Suzuki AFF (Disember), serta Kelayakan Olimpik pada 2011, malah untuk mempertahankan emas pada Sukan SEA 2011 di Indonesia.

No comments:

Post a Comment