Saturday, January 9, 2010

Rajagobal iringi pemain ke Eropah


Jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal dijangka akan mengiringi pemain bawah 23 tahun negara ke kelab-kelab terkemuka Eropah untuk mengikuti kursus kejurulatihan sepanjang berada di sana.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad berkata, langkah itu telah dibincangkan semasa pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek di Majlis Sukan Negara (MSN), baru-baru ini.

‘‘Langkah ini sebagai memantapkan lagi ilmu kejurulatihan beliau dalam membimbing skuad negara.

‘‘Perancangan ini bukan sahaja melibatkan beliau malah mungkin beberapa jurulatih tempatan lain kita akan bawa bersama,’’ katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Jelasnya, ia sejajar hasrat FAM mahu melahirkan jurulatih tempatan berkelas dunia yang bukan sekadar tahu melatih pasukan, namun bijak membaca permainan serta penggunaan taktikal terkini dalam era bola sepak moden.

‘‘Kita mahu selepas itu, mereka ini dapat membantu negara membentuk skuad yang lebih mantap serta mampu bersaing di peringkat antarabangsa bagi jangka panjang.’’ jelasnya.

Selain itu, Azzuddin mendedahkan beliau akan berusaha mengadakan perlawanan persahabatan kepada skuad negara sekurang-kurangnya dua bulan sekali di peringkat antarabangsa.

‘‘Perlawanan seperti ini penting agar momentum skuad emas kita dapat dikekalkan dan mengelakkan sindrom terlalu selesa di kalangan pemain.

‘‘Malah, latihan di peringkat pusat akan selalu diadakan oleh FAM walaupun Liga Malaysia berlangsung dalam tempoh itu, ia sebagai persiapan jangka panjang menghadapi Sukan Asia 2010 Guangzhou, China dan Piala AFF Suzuki,’’ katanya.

Mengulas mengenai pembelian kelab West Ham oleh Datuk Seri Tony Fernandes dan Datuk Kamaruddin Meranum, beliau tidak mahu memberikan sebarang kenyataan sehingga perkara itu menjadi kenyataan.

‘‘Saya tidak mahu nanti kita syok sendiri kerana belum pasti lagi sama ada mereka berdua akan dapat atau tidak memiliki kelab tersebut.

‘‘Namun andai kata mereka berjaya, saya akan ucapkan tahniah dan FAM mungkin boleh mengadakan perbincangan berasingan dan terperinci dengan Fernandes serta Kamaruddin untuk kepentingan bola sepak negara,’’ ujarnya.

Kelmarin, Utusan Malaysia mendedahkan dua tokoh korporat tempatan, Fernandes dan Kamaruddin sedang di peringkat akhir untuk membeli kelab bola sepak Liga Perdana England, West Ham United.

Sumber memberitahu, pembelian kelab yang dibimbing oleh Gianfranco Zola itu akan dimuktamadkan dalam tempoh dua minggu akan datang.

Menerusi pembelian tersebut, Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd. (AirAsia) dan Kamaruddin, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, akan memegang 51 peratus saham kelab tersebut.

“Pemilikan kelab West Ham oleh kedua-dua tokoh korporat itu adalah pelaburan peribadi dan ia tidak melibatkan kepentingan syarikat AirAsia,” kata sumber tersebut

No comments:

Post a Comment