Thursday, January 7, 2010

Penyokong 'perlawanan panas' akan diasingkan

Mulai musim ini, pengasingan tempat duduk penonton yang membabitkan perlawanan 'panas', bakal diwajibkan bagi memastikan perlawanan dapat berlangsung dengan baik.

Naib Presiden FAM, Datuk Che Mat Jusoh berkata, langkah tersebut akan diperketatkan lagi dalam usaha memastikan tiada lagi insiden yang tidak diingini berlaku di antara kedua-dua pihak penyokong.

Katanya, pendekatan tersebut dipertanggungjawabkan kepada tuan rumah dan jika gagal dilaksanakan mereka bakal didenda sekiranya ada penonton yang menimbulkan masalah.

"Langkah mengasingkan para penyokong, menjadi tanggungjawab kepada tuan rumah terutamanya apabila melibatkan perlawanan di antara pasukan yang sering menimbulkan masalah.

"Langkah tersebut bukanlah untuk membebankan persatuan mahupun peminat bola namun ia perlu dilaksanakan bagi memudahkan sebarang masalah yang berlaku di dalam stadium untuk dikenalpasti," katanya kepada pemberita pada makan malam meraikan pemain-pemain Terengganu di sini, semalam.

Che Mat menambah, selain pengasingan tempat duduk, beliau turut mencadangkan agar pemeriksaan badan dilakukan dengan lebih ketat lagi.

Jelasnya, beliau meminta agar peminat bola sepak bekerjasama dalam melicinkan segala tindakan yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa.

"Selain daripada persatuan memastikan penyokong tidak membawa peralatan dan objek-objek yang tidak seharusnya dibawa, kita akan meminta pihak polis mengadakan pemeriksaan badan dengan lebih teliti.

"Seharusnya peminat bola sepak datang dengan penuh semangat kesukanan dan bukannya dengan niat untuk bergaduh sesama sendiri," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, pihaknya dalam rangka menambah jumlah anggota pasukannya bagi perlawanan yang melibatkan pasukan berisiko tinggi di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kuala Terengganu sepanjang musim ini.

Katanya, pihak polis akan mempertingkatkan kawalan samada ketika penjualan tiket mahupun perlawanan berlangsung.

Jelasnya, anggota polis juga akan diletakkan ditempatkan bersama penonton bagi memudahkan pemantauan dibuat.

"Perlawanan pada Sabtu ini bakal menjadi perlawanan tumpuan kerana Terengganu bertemu Kelantan...dengan kehadiran ramai penonton dari kedua-dua pasukan di stadium tersebut, pelbagai kejadian boleh berlaku.

"Justeru itu, kawalan ketat akan dilaksanakan agar perlawanan tidak tercemar," jelasnya.

No comments:

Post a Comment