Monday, January 4, 2010

FAM anggap sudah terlambat


TIMBALAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad menyifatkan cadangan mengekalkan pemain skuad bawah 23 tahun (B-23) negara yang memenangi pingat emas pada Sukan SEA XXV di Laos sebagai sudah terlambat.

Namun Redzuan berkata, FAM masih mempunyai dua pasukan iaitu Harimau Muda A (bawah 21 tahun) dan B (bawah 19 tahun) untuk merealisasikan cadangan itu.

"Kedua-dua pasukan ini berada di bawah pengurusan penuh FAM yang boleh kita pupuk mulai sekarang dengan latihan yang sistematik, pendedahan di peringkat antarabangsa dan sebagainya," katanya kepada pemberita di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Selain itu, Redzuan berkata, beberapa pemain dalam skuad B-23 negara juga merupakan pemain-pemain skuad Harimau Muda A di bawah bimbingan Mohd. Azraai Khor Abdullah.

Jumaat lalu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek mencadangkan pemain-pemain skuad B-23 negara tidak dilepaskan untuk bermain dengan pasukan negeri atau kelab dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) tahun ini.

Sebaliknya, Shabery mahukan anak-anak buah K. Rajagobal itu dikekalkan sebagai pemain kebangsaan.

Redzuan turut meminta persatuan negeri dan kelab agar menghasilkan pemain-pemain berkualiti bagi meningkatkan lagi tahap sedia ada bola sepak tempatan.

"Berdasarkan analisa yang kita buat sebelum ini, apabila pemain-pemain kebangsaan kembali ke pasukan negeri atau kelab tahap kecergasan mereka akan jatuh.

"Walaupun ia (kecergasan) sudah cukup bagus untuk memenangi kejohanan di peringkat domestik namun ia tidak mencukupi untuk perlawanan antarabangsa," katanya.

Terdahulu, Redzuan bersama Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong dan Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr. Ramlan Abd. Aziz menyampaikan ganjaran kepada barisan pemain serta pemain skuad bola sepak negara yang meraih pingat emas di Laos bulan lepas.

Seramai 20 pemain dan lapan pegawai termasuk Rajagobal menerima ganjaran wang tunai yang berjumlah antara RM24,000 hingga RM31,000.

Skuad kendalian Rajagobal itu berjaya menamatkan penantian 20 tahun apabila memenangi pingat emas Sukan SEA selepas menewaskan Vietnam 1-0 pada perlawanan akhir.

No comments:

Post a Comment