Sunday, January 3, 2010

Separuh akhir diramal sengit


SAINGAN separuh akhir Liga Futsal Kebangsaan Felda/FAM 2009 yang akan berlangsung hari ini pasti menghidangkan aksi menarik berdasarkan kehebatan empat pasukan yang layak bagi kategori lelaki dan wanita.

Bagi kategori lelaki, juara bertahan, KL Figos RSA FC mempamerkan kegarangan mereka apabila membelasah Pulau Pinang 3-0 pada perlawanan terakhir semalam untuk muncul juara Kumpulan P.

Kelmarin, mereka mudah membenam ATM 6-1 dan menang tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur.

Pada aksi separuh akhir hari ini, KL Figos RSA FC akan bertemu naib juara Kumpulan Q, Pahang yang tewas 2-3 kepada T-Team pada aksi terakhir mereka semalam.

Selaku juara Kumpulan Q, T-Team yang sebelum ini menewaskan KWSP 4-3 dan Felda United 3-2, akan bertemu Pulau Pinang yang muncul naib juara Kumpulan P pada satu lagi aksi separuh akhir.

"Memang KL Figos RSA FC kali ini lebih mantap berbanding musim lalu. Tetapi pada saingan kalah mati (separuh akhir), apa pun boleh berlaku dan kita sedar Pahang juga sudah meningkat," kata jurulatih KL Figos RSA FC, Chiew Chun Yong.

Sementara itu, bagi kategori wanita, juara bertahan, PDRM mara ke separuh akhir selaku naib juara Kumpulan P setelah tewas 2-4 kepada Selangor pada perlawanan terakhir semalam.

Naib juara musim lalu, Kuala Lumpur turut melangkah ke separuh akhir selaku naib juara di belakang KL Figos RSA FC apabila kekurangan perbezaan gol biarpun kedua- dua pasukan terikat 1-1 pada aksi terakhir Kumpulan Q semalam.

Pada separuh akhir hari ini, Selangor akan bertemu Kuala Lumpur manakala KL Figos RSA FC bertemu PDRM.

"Kejayaan Selangor menewaskan juara bertahan, PDRM menjadikan para pemain lebih bersemangat untuk menewaskan Kuala Lumpur pada separuh akhir dan seterusnya ke final buat kali pertama," kata koordinator pasukan Selangor, Raja Restam Azhar Raja Jaafar.

No comments:

Post a Comment