Sunday, January 3, 2010

‘Mustahil kekalkan skuad B 23’


Cadangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk ‘menghalang’ pemain skuad bola sepak Bawah 23 negara yang memenangi emas di Sukan SEA Laos untuk tidak bermain dengan pasukan negeri atau kelab sukar untuk dilaksanakan.

Ia disebabkan faktor kewangan yang dihadapi oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta masalah teknikal yang bakal berlaku jika cadangan tersebut hendak dilaksanakan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, masalah kewangan adalah perkara utama yang bakal membantutkan cadangan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek untuk melihat pemain skuad emas itu tidak mewakili mana-mana pasukan dalam Liga Malaysia.

Katanya, kos beraksi di luar negara adalah tinggi dan FAM juga perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada mana-mana negara yang ingin membenarkan skuad tersebut beraksi dalam liga mereka.

Selain itu katanya, ia juga bakal menimbulkan masalah teknikal apabila melibatkan kontrak pemain dengan pasukan mereka ketika ini dan perkara tersebut perlu mendapat kelulusan daripada ahli gabungan FAM.

“FAM menyambut baik cadangan Datuk Ahmad Shabery Cheek supaya pemain skuad Bawah 23 negara tidak bermain dengan mana-mana persatuan negeri atau kelab.

“Ia jelas menunjukkan KBS mahu memberi perhatian serius kepada sukan bola sepak negara dan melihat sukan kesayangan rakyat negara ini terus maju di peringkat antarabangsa.

“Namun, cadangan tersebut bakal menimbulkan beberapa isu teknikal yang perlu diatasi oleh FAM dan ahli gabungan, terutama dari segi kontrak, gaji, kebajikan pemain dan jurulatih.

“Faktor kewangan FAM juga perlu diambil kira kerana ia bakal melibatkan dana yang besar untuk membawa skuad emas ini beraksi di luar negara.

“FAM kini menanggung tiga buah pasukan secara langsung iaitu skuad Bawah 23, Harimau Muda A dan Harimau Muda B.

“Oleh yang demikian, bagi menjayakan hasrat Menteri Belia dan Sukan, FAM perlu mendapat sokongan penuh daripada KBS serta ahli gabungan FAM,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis makan tengahari bagi meraikan kejayaan skuad bimbingan K. Rajagobal di Restoran Salero Negori, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Azzuddin berkata, hanya beberapa pemain skuad Bawah 23 yang di bawah kontrak FAM, manakala selebihnya terikat dengan persatuan negeri dan kelab.

Katanya, perkara tersebut menyentuh polisi peraturan perlembagaan FAM dan ia perlu mendapat persetujuan daripada ahli gabungan.

Sehubungan itu katanya, dia tidak boleh memberi kata putus berhubung cadangan Menteri Belia dan Sukan tersebut, sebaliknya akan mengemukakan cadangan dinamik tersebut kepada Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah dan kemudiannya dibawa ke mesyuarat Exco.

Katanya, FAM perlu mendengar pendirian ahli gabungan berhubung perkara tersebut dan badan pengurusan bola sepak negara itu juga perlu mendapat kelulusan daripada pihak tersebut.

No comments:

Post a Comment