Saturday, January 9, 2010

Kelantan mahu baiki pencapaian musim lalu

Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) meletakkan sasaran lebih tinggi dalam kempen Liga Malaysia 2010, dengan hasrat memperbaiki pencapaian yang dikecapi pasukan itu sepanjang musim lepas.

Presidennya Tan Sri Annuar Musa berkata, beliau percaya bagi kempen 2010 Kelantan mampu meningkatkan pencapaian daripada pasukan yang muncul naib johan Piala FA dan Piala Malaysia musim lepas kepada pasukan yang menjadi johan kedua-dua piala itu tahun ini.

"Ini hadiah yang kita harapkan kalau dulu naib johan Piala FA, tahun ini diharap lebih sikit, kalau dulu naib johan Piala Malaysia, tahun ini lebih sikit, itulah yang diharapkan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran jersi baru pasukan The Red Warriors 2010 dan Laman Web Theredwarriors.com di sini, semalam.

Katanya, dalam saingan Liga Super, Kelantan yang menduduki tempat keenam tahun lepas diharap berada di tempat yang lebih selesa tahun ini.

Beliau juga menganggap kempen Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia tahun ini lebih mencabar memandangkan semua pasukan cuba memberi tumpuan untuk mendapat tempat yang terbaik.

Sementara itu, pengeluar pakaian sukan antarabangsa, Umbro menjadi penaja jersi pasukan bolasepak Kelantan musim 2010 menggantikan jenama Sport Zone yang digunakan tahun lepas.

"Jersi utama berwarna merah putih memaparkan penaja-penaja utama iaitu Air Asia, Al-Hamra Group Company, Yusmira Trading dan Akhbar Sinar Harian. Dua lagi jersi rasmi berwarna putih dan biru turut diletakkan lambang 1Malaysia ditengah-tengah," katanya.

Mengenai penubuhan laman web theredwarriors.com beliau berkata ia bagi memudahkan peminat bolasepak Kelantan di dalam dan luar negara yang ingin mendapatkan maklumat terkini pencapaian pasukan itu.

Turut hadir pada majlis itu, wakil Umbro Malaysia S. Muru, Ketua Jurulatih pasukan Kelantan, B. Sathianathan dan kira-kira 500 ahli Kelab Penyokong Kelantan

No comments:

Post a Comment