Friday, July 1, 2011

Mungkin hilang Safee


Skuad negara ke Taipei semalam bukan sahaja tanpa bekalan selesa apabila cuma menang 2-1 ke atas Taiwan di laman sendiri pada Kelayakan Piala Dunia, tetapi dihimpit risiko kehilangan Safee Sali pada aksi timbal balik, Ahad ini.

Kelibat Safee hanya sempat disaksikan pada babak pertama perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil kelmarin, apabila pemain itu dikeluarkan akibat cedera bahagian urat pelipat lutut.

Situasi itu pastinya merumitkan lagi misi skuad negara untuk menembusi kubu lawan di Taipei, kerana Taiwan kini yang memiliki kelebihan apabila meledak satu gol di sini, kelmarin.

Jurulatih Datuk K. Rajagobal sememangnya berdepan masalah tidak banyak pilihan di bahagian penyerang sejak aksi persahabatan dengan Myanmar di Kota Bharu 18 Jun lalu dan terpaksa menggunakan penyerang Terengganu, Abd. Hadi Yahya sambil dibantu oleh Baddrol Bakhtiar.

Ekoran masalah terbaru yang membelenggu skuad negara, Rajagobal berdepan tugas berat untuk membentuk percaturan bahagian serangan pada aksi di Stadium Perbandaran Taipei, Ahad ini.

"Apa-apa pun, menang tetap menang (di sini), tetapi saya akan melihat kecederaan yang menimpa Safee. Saya rasa dia mungkin tidak dapat beraksi dalam perlawanan kedua kerana masalah urat pelipat lutut," katanya selepas perlawanan kelmarin.

Ini bermakna skuad kebangsaan kehilangan dua penyerang utama termasuk Norshahrul Idlan Talaha yang menjadi watak penting ketika menjuarai Piala Suzuki AFF 2010, kecuali jika pemain itu pulih menjelang pertemuan Ahad ini.

Selain Abdul Hadi dan Baddrol, Rajagobal masih memiliki seorang lagi calon yang mampu mengisi kekosongan bahagian serangan iaitu Ahmad Fakri Saarani, yang dimasukkan sebagai pemain gantian kelmarin.

Namun, Ahmad Fakri gagal membentuk gandingan mantap bersama Abdul Hadi, apabila mereka digandingkan buat pertama kali namun terlepas beberapa peluang untuk menambah jaringan pada babak kedua kelmarin.

Sementara itu, pada bahagian tengah Malaysia mungkin tidak dapat menggunakan khidmat ketua pasukan, Safiq Rahim yang mengalami kecederaan di bahagian lutut, namun tahap kecederaan tersebut masih menjadi tanda tanya.

Namun, tiada masalah besar buat Rajagobal pada posisi lain termasuk penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee Ramli yang memberikan persembahan baik, namun kesilapan barisan pertahanan membiarkan Chen Po Liang menjaringkan gol kelmarin, sesuatu yang tidak boleh diterima.

Gandingan Aidil Zafuan Abd. Radzak dan Fadhli Shas agak leka sehingga membolehkan Taiwan memperoleh jaringan yang amat diperlukan mereka sebagai bekalan untuk perlawanan di gelanggang sendiri.

"Jaringan pasukan lawan akibat kelalaian pertahanan kita," kata Rajagobal.

No comments:

Post a Comment