Wednesday, June 29, 2011

Kejutan Rajagobal hadapi Taiwan


JURULATIH kebangsaan, Datuk K. Rajagobal terus merahsiakan kesebelasan utamanya bagi menghadapi Taiwan pada aksi pertama pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Paling mencuri tumpuan ialah siapa yang akan menjaga gawang gol - sama ada Khairul Fahmi Che Mat atau Sharbinee Allawee Ramli serta gandingan serangan selepas Safee Sali mengalami kecederaan hamstring tendon lutut.

Apa yang pasti, Rajagobal pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam menyatakan bahawa beliau akan sekali lagi membuat kejutan.

"Saya dah banyak kali buat kejutan sebelum ini. Saya selalu buat keputusan mengejut pada saat akhir. Esok (hari ini) saya akan lihat siapa yang cukup bersedia fizikal dan mental untuk diturunkan.

"Mungkin jika Khairul Fahmi berasa selesa (sakit bahu) selepas latihan petang ini (semalam), saya akan turunkannya. Apa pun saya tetap akan dapatkan nasihat fisioterapis pasukan sebelum membuat keputusan," kata Rajagobal.

Di barisan serangan pula, Rajagobal mungkin akan menggandingkan Abdul Hadi Yahaya dan Baddrol Bakhtiar selepas Safee mengalami kecederaan di saat-saat akhir pada sesi latihan petang semalam.

Norshahrul Idlan Talaha dan Ahmad Fakri Saarani pula turut boleh diturunkan selepas kedua-duanya sudah pulih daripada kecederaan hamstring dan lutut.

Namun di sebalik masalah tersebut, Rajagobal tetap berkeyakinan Malaysia mampu meraih kemenangan di laman sendiri bagi mendapatkan bekalan sebelum bertandang ke tempat lawan pada Ahad ini.

"Kami akan tampilkan aksi terbaik apabila beraksi di tempat sendiri dan fokus utama ialah untuk meraih kemenangan. Kita tak boleh nak ramal berapa jumlah jaringan.

"Jika menang 1-0 pun, ia cukup untuk kita ke tempat lawan dengan tanpa tekanan berbanding jika tewas. Jadi saya mahu pemain manfaatkan peluang terhidang dan tiada sebab untuk kita tewas," tegas Rajagobal.

Rajagobal turut menyatakan bahawa dua pemain sayap Taiwan, Lo Chih-An dan Lo Chih-En yang merupakan saudara kembar cukup berbahaya dan pasukan lawan itu memiliki dua pemain pertahanan tengah yang kental.

"Itu yang saya dapat lihat menerusi rakaman video tiga perlawanan membabitkan pasukan Taiwan pada Kelayakan Piala Cabaran AFC 2012 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Mac lalu," jelas Rajagobal.

No comments:

Post a Comment