Tuesday, June 28, 2011

Isra' dan Mikraj

Bersempena dengan Hari memperingati Isra' dan Mikraj, marilah kita sama-sama merenung kepada peistiwa besar yang dilalui oleh Nabi Muhammad saw.

Peristiwa yang terjadi ini adalah sesuatu yang di luar pemikiran logik manusia biasa. Dalam satu malam sahaja Rasulullah saw telah pergi ke Masjid Al Aqsa di Baitulmuqaddis dan naik ke langit( ikraj) serta pulang semula ke Mekkah hanya dalam tempoh satu malam.Hanya orang yang beriman dan memahami keagungan Allah swt sahaja yang mempercayai peristiwa yang telah berlaku semepena isra' dan mikraj ini. Bagi mereka yang tidak mempercayai tentang peristiwa besar ini, adalah terkeluar dari Islam ynag tidak beriman kepada Al Quran dan sunah Rasulullah. Apakah hukumnya orang yang tidak mempercayai dengan ayat-ayat Allah. Allah s.w.t telah berfirman di dalam Al-Quran yang membawa maksud :

"Mahasuci (Allah) yang telah memperjalankan hambanNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat." -
- ( Al-Isra' ayat 1.)

Sebagai seorang Muslim yang beriman tentulah mengetahui bahawasanya Allah berkuasa melakukan apa sahaja yang dikehendakiNya. Sesungguhnya apa sahaja yang Allah kehendaki pasti akan berlaku (kun fayakun) tiada siapa boleh menghalangNya. Saidina Abu Bakar yang mendapat gelaran As-Siddiq adalah orang pertama yang membenarkan kata-kata nabi apabila diberitahu tentang perjalanan Rasulullah itu. Tanpa banyak soal dan banyak tanya beliau terus mempercayai akan berita yang disampaikan itu.

Begitulah sepatutnya sikap umat Islam hari ini. Sekiranya perkara yang berkaitan agama Islam dan berkaitan hukum hakam agama, janganlah kita berdolak dalik dan wajiblah kita mempercayainya tanpa ada sebarang persoalan untuk menafikannnya.
Pasti kalian pernah mendengar cerita perjalanan Rasulullah ketika perjalanan menghadap Allah. Rasulullah diperlihatkan bagaimana siksa-siksa yang diterima oleh umat Baginda sekiranya larangan Allah tidak diperendahkan. Apakah yang telah diperlihatkan itu telah pun kits dengar dari ceramah-ceramah dan dibaca dari artikel-artikel. Yang tinggal sekarang hanyalah bagaimana kisah-kisah itu nak dijadikan iktibar kepada kita yang masih hidup ini. Kita hendaklah ingat bahawa , yang hidup pasti akan mati. Yang telah menemui ajalnya kita doakan agar mereka dilindungi dari azab Allah. Fikirkanlah untuk diri kita yang masih hidup ini dan sudah pasti suatu hari nanti kita juga akan ditemukan dengan saat-saat kematian. Ingat... hidup kita bukan berehenti di dunia ini.

Satu perkara ynag besar dikaitkan dengan peristiwa israk dan mikraj ini adalah satu perintah ibadah Solat. Betapa sayang dan kasihnya Allah terhadap makhluk-makhluknya sehingga diberikan satu . Allah menghadiahkan solat 5 waktu kepada kita tetapi jarang sekali dan susah sekali untuk kita menjaga solat itu sebaik yang mungkin.

Allah memerintahkan kita solat 5 waktu untuk kita mengadapNya memohon terus kepadaNya. Sekiranya kita lihat kepada maksud solat itu sendiri adalah doa. Allah berpesan kepada hamba-hambaNya mintalah kepadaKu nescaya akan Kumakbulkan. Solat lah antara satu cara untuk kita memohon kepada Allah.


Hayati Peristiwa Isra' Mikraj.


Assalamualaikum Warahmatullah,


Kita kini sedang berada di bulan Rejab yang telah mencatatkan suatu peristiwa penting iaitu pada tanggal 27 Rejab tahun kesebelas selepas daripada kenabian Rasulullah s.a.w dan 2 tahun sebelum berlakunya hijrah nabi s.a.w ke Madinah Munawwarah, telah berlaku peristiwa isra' dan mikraj di mana ia merupakan satu bukti tentang kebesaran, kekuasaan dan kehebatan Allah dalam memperjalankan diri Rasulullah s.a.w dari Masjidil Haram, Mekah ke Masjidil Aqsa, Baitul Maqdis Palestin dan seterusnya nabi di angkat ke langit untuk bertemu Allah dalam masa yang begitu singkat.

Peristiwa ini telah membongkarkan tentang keimanan dan keyakinan umat manusia terhadap kekuasaan Allah dan kebenaran kepada kenabian nabi Muhammad s.a.w. Orang kafir sendiri menjadikan peristiwa Isra’ dan Mikraj ini sebagai suatu pembohongan yang menambahkan lagi penolakan mereka terhadap dakwah nabi. Manakala keadaan umat Islam sendiri terbahagi kepada beberapa peringkat iaitu ada yang terus membenarkan nabi seperti Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq, ada pula yang mahu penjelasan terperinci dengan menguji nabi melalui beberapa pertanyaan seperti bilangan pintu dan tiang dalam Masjidil Aqsa bagi membuktikan kebenaran kepada cerita tersebut dan ada pula yang bersikap menolak terus cerita nabi dan kembali murtad daripada Islam.

Perkara seperti ini saya fikir lebih kurang sama dengan situasi yang banyak berlaku di negara-negara Islam iaitu dalam usaha melaksanakan semula semua sistem Islam, bukan sahaja dalam aspek perundangan, malah meliputi aspek kehidupan semasa, ekonomi, politik dan sosial.

Sama ada kita sedar atau tidak, telah timbulnya beberapa golongan iaitu golongan pertama yang seratus peratus yakin dengan kemampuan Islam serta berusaha dengan kemampuan yang ada untuk melaksanakannya. Golongan yang kedua terdiri daripada mereka yang tahu tentang kemampuan sistem Islam tetapi sentiasa mencari jalan agar ia tidak dapat dilaksanakan dengan mencari pelbagai alasan. Golongan ketiga iaitu golongan pelampau terdiri daripada mereka yang menolak terus sistem Islam malah memberi amaran akan melakukan huru hara jika ada pihak yang berusaha untuk melaksanakannya dalam negara tersebut.

Jika umat dahulu berasa pelik apabila nabi menceritakan tentang Isra’ dan Mikraj maka umat zaman kini merasa pelik apabila disebut tentang sistem Islam yang menyeluruh sedangkan sistem ini pernah dilaksanakan di seperti pada masa pemerintahan Kesultanan Melayu sebelum datangnya penjajah. Umat Islam menjadi pelik dengan agama mereka sendiri kerana mereka sudah terlalu tepu dengan pelbagai jenis kelekaan yang saban hari dihidangkan melalui tv, radio, akhbar dan sebagainya.

Peristiwa Isra’ dan Mikraj berlaku selepas nabi diuji dengan kematian dua orang yang paling rapat dan banyak membantu baginda dalam usaha menyebarkan dakwah Islam iaitu isteri tercinta Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib. Tekanan yang dihadapi selepas kematian kedua insan yang disayangi semakin bertambah dan jika kita fikirkan dari segi logik akal maka dakwah Islam pasti akan terkubur.

Namun kuasa Allah melebihi segala-galanya iaitu selepas penolakan dakwah oleh penduduk Taif, nabi telah dihiburkan dengan Isra’ dan Mikraj dan seterusnya diizinkan untuk berhijrah ke Madinah sehingga membina Daulah Islamiah yang telah mengubah kedudukan Islam daripada dihina kepada dipandang mulia, daripada lemah kepada memerintah. Dalam peristiwa di Taif iaitu ketika penduduknya bukan sahaja menolak mentah-mentah dakwah Islam malah telah melontar batu ke arah nabi sehingga berlumuran darah.

Kita dapat melihat nabi telah diberi peluang untuk menang mudah iaitu tawaran daripada malaikat penjaga bukit untuk menjadikan bukit bawah jagaannya sebagai emas tetapi ditolak oleh nabi sebagaimana nabi menolak tawaran malaikat penjaga bukit yang ingin menghancurkan penduduk Taif yang begitu degil dengan menjatuhkan bukit ke atas penduduk Taif.

Penolakan nabi ini memberi banyak pengajaran kepada kita umat Islam iaitu kekayaan bukanlah faktor utama dalam menegakkan Islam kerana jika kita perhatikan pada hari ini kebanyakan negara umat Islam dianugerahkan dengan hasil dalam negara yang banyak tetapi ia tidak membantu dalam membentuk umat Islam yang bersatu serta menghentikan penderitaan umat Islam yang sedang ditindas. Islam bukan mampu bangkit dengan kekuatan ekonomi semata-mata tetapi Islam bangkit melalui kekuatan aqidah yang ditanam dalam diri.

Peristiwa Isra’ Mikraj berlaku di dua tempat utama di bumi sebelum nabi dinaikkan ke sidratul muntaha iaitu bumi Mekah dan Palestin malah melalui ayat 1 surah Isra’ menjelaskan bagaimana Allah memberkati bumi isra’ dan sekitarnya. Sehingga kini bumi Isra’ iaitu Baitul Maqdis, Palestin terus menjadi rebutan tiga agama iaitu Islam, Kristian dan Yahudi sehinggakan keganasan Yahudi dalam membunuh dan merampas tanah milik umat Islam terus berjalan tanpa perikemanusiaan.

Sejarah Perjalanan Isra' Mikraj

Rasulullah S.A.W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda S.A.W. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan "khatimin nubuwwah". Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan "Isra" itu.

Semasa Isra'
(Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil Aqsa)

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S.A.W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.
ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah;
iii. Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W. menghadapi gangguan jin 'Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. Antaranya :

1. Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

2. Tempat yang berbau harum. Rasulullah S.A.W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Masyitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir'aun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir'aun sebagai Tuhan).

3. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

4. Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri atau suami.

6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

10. Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

11. Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak mempedulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

12. Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.

Rasulullah S.A.W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

Semasa Mikraj
(Naik ke Hadhratul Qudus Menemui Allah):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

1. Langit Pertama: Rasulullah S.A.W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

2. Langit Kedua: Nabi S.A.W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi 'Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.

3. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.

4. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.

5. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

6. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

7. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W., Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha'if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu La Haulawala Quwatta Illa Billah.

Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: Subhanallah, Walhamdulillah, Wa la ila ha illallah allahuakbar dan Wa La Haulawala Quwata Illabillahil Azim.

Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga". Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

8. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

9. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak derhaka kepada ibu bapanya.

10. Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S.W.T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:

Allah S.W.T: Ya Muhammad.

Rasulullah : Labbaika.

Allah S.W.T: Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.

Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Daud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan 'Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.

Allah S.W.T: Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang.

Selesai munajat, Rasulullah S.A.W. dibawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W. merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

Selepas Mikraj

Rasulullah S.A.W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah).

Wallahu'alam.

(Sumber : Kitab Jam'ul-Fawaa`id)

Nota kaki: Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Rasulullah saw langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah swt. Allah swt telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Rasulullah saw.

Masih terlekakah kita?

No comments:

Post a Comment