Tuesday, November 24, 2009

Ramlan optimis pingat bola sepak


Dr. Ramlan Aziz (dua dari kanan) mengadakan perjumpaan dengan K. Rajagobal ketika melawat latihan persiapan skuad bola sepak negara ke Sukan SEA Laos di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam

PETALING JAYA - Ketika tiada sesiapa yang berani menyandarkan harapan emas daripada acara bola sepak pada Sukan SEA, Ketua Kontinjen negara, Datuk Dr. Ramlan Aziz optimis skuad kebangsaan mampu meraihnya di Laos nanti.

Walaupun bukan sasaran muktamad, sebaliknya pandangan peribadi beliau, Ramlan berkata, keupayaan skuad negara sejak kebelakangan ini menjadi petanda emas daripada acara itu bukan mustahil.

''Jika ditanya perasaan saya sebagai Chef-de-Mission mengenai harapan emas daripada acara bola sepak, sudah tentu saya katakan ya. Optimis sentiasa menjadi sikap saya.

''Kita ke sana untuk menang. Semua pasukan mesti menang. Semua pasukan ada semangat untuk menang, begitu juga bola sepak. Saya sentiasa yakin kemampuan skuad kita.

''Saya mengharapkan sikap memberikan seratus peratus daripada para pemain ketika beraksi. Semua mereka harus ada sikap ini.

''Emas Sukan SEA terakhir 20 tahun lalu wajar dijadikan semangat untuk mereka mendapatkan kembali kilauan emas dalam bola sepak.

''Jadi, para pemain harus sedar mereka ada misi yang perlu diselesaikan di Laos,'' katanya ketika menyaksikan latihan skuad bola sepak negara di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Kelana Jaya, semalam.

Hadir sama Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad.

Kelmarin, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah mengharapkan sebutir pingat Sukan SEA Laos, bulan depan mampu diraih sebagai penutup cemerlang musim bola sepak negara.

Kali terakhir skuad negara memenangi emas ialah 20 tahun lalu di gelanggang sendiri dan gagal membawa pulang sebarang pingat pada temasya di Korat, dua tahun lalu.

Tambah Ramlan, temasya dwi tahunan di Laos boleh dijadikan penebus maruah skuad bola sepak setelah gagal dalam kejohanan antarabangsa termasuk Kelayakan Piala Asia 2011 apabila kalah tewas 1-3 dalam dua perlawanan di Tashkent dan Bukit Jalil pada 14 dan 18 November lalu.

''Sukan SEA mungkin kejohanan yang tepat untuk skuad bola sepak negara menebus kegagalan di sepanjang tahun. Inilah peluang terbaik untuk melakukannya.

''Jadikan Sukan SEA penutup yang berjaya dalam sukan negara, bukan sahaja skuad bola tetapi acara yang lain juga,'' katanya.

Monday, November 23, 2009

Hujan tidak menghaLang untuK berlatih...

Antara gambar-gamabar di padang latihan daripada sahabat-sahabat KDN ..









Titus James menyertai Negeri Sembilan?


Ada desas-desus mengenai bekas Pemain kebangsaan sensasi, Titus James Palani akan kembali ke Malaysia dari Perancis untuk cuba pasukan malaysia tempatan untuk 2010. Terakhir namanya muncul dalam adegan sepak bola tempatan kami selepas ia gagal untuk menduduki skuad sukan SEA tahun lalu di bawah B. Sathianathan.

Walaupun rumor ini sukar dipercayai. Tapi ada kemungkinan hal ini berlaku sejak Titus James tidak mampu menarik minat setiap kelab di perancis .

Presiden FAM tegas (BetuL keR ???)

“KALAUPUN negeri saya sendiri - Pahang - gagal memenuhi syarat pendaftaran seperti ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), biarlah mereka tidak beraksi di dalam Liga-M, musim depan.”

Itulah ketegasan ditonjolkan Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah selepas enam pasukan gagal memenuhi syarat pendaftaran menyertai Liga-M musim depan dan perkara itu menjadi isu utama mesyuarat majlis badan induk kebangsaan itu semalam.

“Saya adalah Presiden FAM. Saya perlu tegas dalam keputusan ini kerana ia adalah peraturan,” kata Sultan Ahmad Shah.

Mesyuarat majlis FAM semalam memutuskan Kelantan, Perak, Pulau Pinang, Pahang, Melaka dan Shahzan Muda diberi tempoh hingga 30 November ini untuk menyelesaikan masalah masing-masing.

Itu bermakna, dalam tempoh seminggu ini, setiap pasukan terbabit perlu menyelesaikan perkara berikut - gaji tertunggak kepada pemain dan pegawai; caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP); surat jaminan daripada penaja atau badan korporat; cukai pendapatan pemain dan pegawai serta caruman Perkeso.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, mesyuarat semalam memutuskan badan induk kebangsaan itu tidak n memberi tempoh lebih panjang kepada keenam-enam pasukan terbabit menyelesaikan masalah masing-masing.

“Tuanku Sultan bertitah bahawa semua syarat ditetapkan itu perlu dipatuhi selewat-lewatnya 30 November ini. Beliau juga berkata, jika Pahang yang menjadi negeri kelahirannya, gagal menyelesaikan semua masalah itu, biarlah negeri itu tidak beraksi musim depan.

“Bagi gaji, mereka perlu menyelesaikan semua yang tertunggak manakala untuk caruman KWSP, mereka tidak dikehendaki menjelaskan semua sekali, sebaliknya boleh mengemukakan surat mengenai kaedah penyelesaian dipersetujui kedua-dua pihak.

“Mereka juga perlu menyerahkan kepada FAM surat jaminan penaja sebagai bukti mempunyai kedudukan kewangan mencukupi untuk mengharungi Liga-M musim depan,” katanya.

Sementara itu, tiga pasukan bertaraf kelab yang sebelum ini dikatakan mahu menarik diri, sah menarik diri dan mesyuarat yang sama meluluskan penarikan diri KM Naza FC, UPB/MyTeam FC dan Proton FC.

FAM beri peluang kedua

Tarikh kelayakan sertai Liga Malaysia dilanjut hingga Isnin depan

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) jelas masih bersifat lembut apabila syarat kelayakan pasukan untuk beraksi dalam Liga Malaysia, musim depan dilanjutkan lagi sehingga 30 November ini selepas ia diputuskan dalam mesyuarat Exco badan induk itu, semalam.

Ini adalah tarikh kedua diberi selepas tarikh pertama pada penghujung Oktober lalu seakan tidak diendahkan beberapa persatuan negeri dan kelab yang masih lagi gagal menyelesaikan kemelut kewangan terutamanya isu membabitkan pembayaran gaji dan caruman Kumpulan Wang Simpanan pekerja (KWSP) pemain, Perkeso, potongan cukai Hasil Dalam Negeri, deposit dan denda terdahulu.

Namun, menurut Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah, ini adalah peluang terakhir diberi dan tidak akan ada sebarang kompromi selepas daripada tarikh tersebut.

"Saya dimaklumkan sehingga ke tarikh ini beberapa pasukan tidak memenuhi syarat ditetapkan dan FAM akan memberi tempoh sehingga 30 November ini. Selepas itu, kami tidak akan menerima apa apa rayuan daripda mana mana pasukan," katanya dalam satu kenyataan di Wisma FAM, semalam.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, pasukan yang gagal melunaskan setiap syarat yang ditetapkan ditakrif terkeluar secara automatik daripada saingan musim depan.

"Perak dan Pulau Pinang antara pasukan yang masih lagi belum memenuhi syarat walaupun perbincangan sudah dibuat. FAM sudah lebih awal memberi peringatan kepada mereka mengenai tarikh terakhir itu," katanya.

Antara pasukan lain yang masih gagal ialah Kelantan, Pahang, Melaka dan KL Plus yang mungkin akan menjadi satu satunya pasukan kelab yang akan beraksi musim depan ketika KM Naza, Proton FC dan UPB MyTeam sudah pun mengesahkan penarikan diri daripada saingan.

Sementara itu, FAM menyampaikan cek RM10,000 kepada keluarga bekas ahli majlis, Mejar Zainuddin Abdul Ghani yang meninggal dunia ketika kejohanan bola sepak pantai gara-gara diserang sakit jantung di Kuantan, bulan lalu.

Sunday, November 22, 2009

Penyokong Mesir merusuh, bakar bendera


KAHERAH - Para penyokong Mesir membakar bendera Algeria dan merusuh di depan bangunan kedutaan Algeria di sini, kelmarin. Mereka turut memecah tingkap kereta dan kedai berhampiran, selepas kalah pada kelayakan Piala Dunia kepada negara seteru utama dalam bola sepak.

Penyokong Mesir dan media negara itu diheret ke dalam kekalutan itu selepas laporan bahawa penyokong Algeria menyerang dan mencederakan penyokong Mesir selepas perlawanan kelayakan Piala Dunia di ibu negara Sudan, Khartoum minggu ini.

Pada perlawanan itu, Algeria 1-0, sekali gus memberikan mereka slot layak ke Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Beratus-ratus penyokong Mesir mengamuk di jalan-jalan sekitar kedutaan Algeria sepanjang malam dan bertempur dengan anggota polis pencegah rusuhan.

Rusuhan tersebut bermula dengan bantahan, dengan para penunjuk perasaan memukul gendang serta menjerit perkataan lucah terhadap rakyat Algeria.

Apabila polis menghalang mereka daripada menghampiri bangunan kedutaan, para penunjuk perasaan mula membaling batu, memecah tingkap kereta an kedai berdekatan, selain menggeledah stesen minyak.

Penyokong yang tidak dapat menghampiri bangunan kedutaan Algeria, membaling batu ke arah bangunan kedutaan India yang terletak berhampiran.

Menteri Dalam Negeri berkata, 11 anggota polis dan 24 penunjuk perasaan cedera, 20 orang ditangkap dan 15 kenderaan rosak.

Kelmarin, berpuluh-puluh penyokong berteriak dan membakar bendera berhampiran bangunan kedutaan, namun kemaraan mereka ke bangunan kedutaan dihalang oleh anggota pencegah rusuhan.

Di negara yang tunjuk perasaan politik jarang berlaku akibat tekanan pasukan keselamatan, bantahan oleh penyokong bola sepak Mesir itu merupakan satu suasana luar biasa apabila penyokong menunjukkan kemarahan mereka di jalanan.

Kawasan kejiranan tempat bangunan kedutaan Algeria, Zamalek di kawasan kepulauan di sungai Nil, merupakan kawasan kedutaan, sekolah, ekspatriat dan pelajar universiti asing.

Permusuhan kedua-dua negara dalam bola sepak sehingga membawa kepada keganasan bermula sejak minggu lalu.

Perlawanan di Khartoum diadakan selepas Mesir mengalahkan Algeria 2-0 Sabtu lalu di Cairo.

Sebelum perlawanan, Sabtu lalu, penyokong Mesir membaling batu ke arah bas yang membawa pemain pasukan Algeria dan mencederakan tiga pemain.

Selepas itu, 32 orang cedera dalam pergaduhan di antara penyokong Mesir dan Algeria.

Penyokong Algeria turut menggeledah pejabat syarikat-syarikat Mesir di Algiers. - AP

Cantona bidas Henry

MARSEILLE - Bekas tonggak utama Perancis, Eric Cantona menempelak jurulatih kebangsaan negara itu, Raymond Domenech berhubung kontroversi Perancis layak ke Piala Dunia 2010.

"Saya rasa Domenech merupakan jurulatih paling teruk di Perancis selepas (Raja Perancis) Louis XVI," kata Cantona semalam.

Louis XVI telah disingkirkan oleh gerakan revolusi Perancis pada 1893 dan seringkali digambarkan sebagai seorang yang tidak pandai membuat keputusan dan serba tidak kena dalam pentadbirannya.

"Jika saya diberi pilihan, saya akan meletakkan Laurent Blanc (jurulatih Bordeaux) sebagai jurulatih kebangsaan Perancis.

"Blanc telah membimbing Bordeaux dan menang kejuaraan liga. Dia turut pernah menang Piala Dunia. Bukan saya seorang yang berfikiran sebegitu," kata Cantona.

Cantona turut mengkritik sikap Thierry Henry yang telah menggunakan tangan untuk membolehkan Perancis mendapat gol kemenangan ketika mengatasi Ireland pada aksi playoff kedua Piala Dunia 2010, Rabu lalu.

"Apa yang mengejutkan saya bukanlah insiden bola terkena tangan itu tetapi pada penghujung perlawanan apabila Henry pergi ke arah pemain Ireland untuk menenangkan mereka biarpun dia mengecewakan mereka tiga minit sebelum itu.

"Jika saya menjadi salah seorang pemain Ireland itu, sudah pasti Henry tidak memiliki masa biarpun tiga saat," jelas Cantona. - AFP

Perhatian Untuk PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional)


Baru-baru ini (Ogos/Sept 2009) aku telah menerima surat makluman dari mahkamah meminta aku hadir kemahkamah dan sebenarnya ini ialah kali ke 3 aku menerima surat makluman sedemikian dari peguam lantikkan PTPTN.

Tapi hampa sekali, hajat aku untuk membuat rayuan berkenaan dengan masalah pembayaran pinjaman PTPTN terbantut buat kali ke 3 kerana kegagalan Peguam yang dilantik oleh pihak PTPTN untuk hadir kemahkamah semasa sebutan kes dibuat.

Pejabat peguam hanya menghantar surat untuk peminjam kes mahkamah, RM300 dah tentu PTPTN akan masuk ke akaun mereka tanpa perlu peguam itu ke mahkamah, tanpa peduli apa berlaku dimahkamah. wang sebanyak RM300 itu sebenarnya akan dicharge dari peminjam dan apa yang menghampakan ialah, peminjam terpaksa membayar bayaran tersebut walaupun tidak dapat membela diri dimahkamah lantaran kegagalan pihak peguam PTPTN hadir dimahkamah.

Sebelum ini memang banyak media massa menyebarkan pelbagai tarikan bagi peminjam membincangkan permasalah dengan PTPTN, tetapi nampaknya konsep management customer skill PTPTN masih dibawah paras standard... bukan setakat 20 kali menelefon tetapi 50-60 kali panggilan dibuat seharidan kadang-kadang tak dapat dapat berkomunikasi langsung, cuma kedengaran rakaman mesin - "pengawai kami sedang sibuk, talian anda akan disambung kemudian", kemudian sehingga hari yang berikutnya perkara yang sama juga berlaku.

Sebelum ini aku pernah beberapa kali buat rayuan untuk membayar sedikit demi sedikit tapi dukaciti apabila dilayan macam orang bodoh, "anda nak bayar bayar habislah semua tu", kata pegawai PTPTN. mereka sambil lewa sahaja tidak mahu membantu menyelesaikan masalah kita dalam melunaskan pinjaman. Apa yang paling menyedihkan ialah apabila pihak PTPTN mengambil keputusan menyenarai hitamkan nama peminjam.

Logikkah mereka membuat begitu..? apa yang lebih menjadi masalah nanti ialah majikan tidak akan menerima pekerja yang telah disenarai hitam. maka kami yang sememangnya sudah bermasalah dalam melunaskan pinjaman menjadi semakin tertekan.

Kisah ini terjadi kepada aku sendiri, setelah beberapa tahun mencari kerja, akhirnya aku berjaya mendapat kerja disebuah syarikat swasta... masuk 3 minggu aku bekerja, majikan telah dapat mengenal pasti kebolehan aku dan dengan itu, majikan telah memilih aku sebagai duta syarikat dan majikan juga telah menyenaraikan nama aku ke USA untuk 1 bulan dalam business trip.

Permasalahan bermula dan ianya menjadi tekanan kepada aku sebab aku juga telah disenarai hitam oleh imegresen, jadi, tiada lagi masa depan aku, dengan diam-diam aku tidak menceritakan masalah ini kepada majikan kerana takut di tendang kerana dalam application letter memang aku tulis semua klear tick no no no...!!!

Bermula dari hari itu (30 okt 2009) sehingga sekarang beratus-ratus kali dan berhari-hari aku menghubungi PTPTN sebelum majikan menghantar aku ke USA tengah bulan disember ini, apa jawapan yang aku dapat hanyalah - "perlu membayar semua itu kerana itu prosedure kami".

Kemana aku nak cari duit berpuluh K..? aku hanya ada masa beberapa hari sahaja untuk memberitahu kepada majikan masalah imegresen aku dan aku perlu terima takdir mencari kerja lagi selepas ini, inilah PTPTN memberi peluang berupa pengetahuan dan penutup periuk nasi peminjamnya.

Apa yang aku ingin rayu disini agar PTPTN lepaskanlah mereka, mereka tidak membayar bukan kerana degil, tetapi kerana betul2 menghadapi masalah... terimalah suara kami. PTPTN menuduh kami degil padahal peminjam seperti kami ini tiada peluang untuk bersuara membela diri dan melontarkan masalah kami.

Perbincangan sudah diadakan tetapi apa yang diminta lebih dari kemampuan peminjam. beribu masalah peminjam diluar sana, mungkin bukan aku sahaja yang menghadapi masalah ini, ramai lagi yang menjadi mangsa dihalang untuk keluar negara. aku bukan keluar melancong tetapi keluar untuk mencari duit bayar untuk membayar balik pinjaman PTPTN, tetapi meraka tak terima aku lagi...

Kemana lagi aku nak cari kerja sebab aku tiada semangat lagi untuk membayar duit PTPTN maupun hidup dalam keadaan tekanan ini, malu kepada keluarga dan masyarakat sekeliling...

Aku Rayu PTPTN pindalah syarat-syarat baru bagi menghapuskan konsep senarai hitam imegresen. banyak lagi cari boleh dibuat..!!! ini bukan sahaja memberi tekanan kepada peminjam tetapi juga merugikan lagi kerana kegagalan kami mandapat kerja boleh menggandakan lagi jumlah hutang...

Yang berhormat

Sedih Bin Pilu - Hafiz Abd Mahmud

KAFA 'sumbang' RM2.4j


ANNUAR (tengah) dan jurulatih B. Sathianathan (empat dari kiri) bergambar bersama pemain-pemain baru Kelantan pada sidang media di Kota Bharu semalam.

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) 'menyumbang' kira-kira RM2.4 juta kepada Persatuan Bola Sepak Malay- sia (FAM) sepanjang Liga Malaysia musim ini.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata, sumbangan itu diperoleh FAM melalui pungutan jualan tiket, bayaran levi selain bayaran denda yang dikenakan ke atas KAFA sepanjang perlawanan musim ini.

Beliau berkata, pada musim ini, KAFA membayar denda RM250,000 kepada FAM setelah didapati bersalah akibat perbuatan penonton Kelantan yang merusuh pada perlawanan separuh akhir Piala FA, April lalu.

FAM turut mengenakan denda sebanyak RM50,000 ekoran keganasan yang dicetuskan penyokong Kelantan pada perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 7 November lalu.

"Senario ini memperlihatkan KAFA satu-satunya pasukan yang paling tinggi memberi sumbangan kepada FAM melalui pelbagai hasil dalam bola sepak di negara ini," katanya pada majlis memperkenalkan 25 pemain Kelantan bagi musim 2010 di Kelantan Trade Center (KTC), Kota Bharu semalam.

Annuar berkata, hasil kutipan jualan tiket tertinggi pula diperoleh menerusi jualan tiket pada perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dengan Negeri Sembilan 7 November lepas iaitu sebanyak RM1.1 juta.

Tambah Annuar, dalam mesyuarat KAFA semalam, pihaknya juga mengambil keputusan tidak akan membuat rayuan terhadap hukuman denda sebanyak RM50,000 yang dikenakan oleh FAM baru-baru ini.

Dalam pada itu, Annuar memberi jaminan KAFA akan menaikkan gaji atau elaun barisan pemain dan pengurusan KAFA pada musim akan datang.

"Saya mahu mengumumkan gaji kesemua pemain Kelantan yang beraksi dengan skuad ini pada musim lalu dinaikkan pada musim depan," kata Annuar yang tidak menyatakan jumlah kenaikan gaji pemain Kelan- tan itu.

Beliau berkata, kenaikan gaji itu diharapkan dapat meningkatkan semangat pemain beraksi lebih cemerlang pada musim depan.

Bagi musim 2010, KAFA mengekalkan 19 pemain musim ini dan menggugurkan penjaga gol berpengalaman, Halim Napi dan penyerang Khalid Jamlus.

Pemain baru skuad Wira Merah itu terdiri daripada penjaga gol kebangsaan, Syed Adney Syed Hussein, Azizi Mat Rose, S. Subramaniam, Shakir Shaari, Nor Sharul Idlan Talaha, Akmal Rizal Rakhli dan S. Chanturu.

Gaji naik...


KOTA BHARU – Selepas mempamer aksi yang memberangsangkan, kesemua pemain Kelantan yang kekal beraksi bersama skuad kijang pada musim depan akan menerima kenaikan gaji.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, kenaikan itu berdasarkan kepada prestasi yang ditunjukkan oleh pemain terbabit pada pemain musim lalu.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan jumlah kenaikan gaji pemain-pemain terbabit.

Menurut Annuar, kenaikan gaji itu sebagai suntikan semangat kepada pemain Kelantan supaya berusaha lebih keras dan menunjukkan prestasi yang lebih baik pada musim depan.

“Saya kagum dengan semangat pemain-pemain kita yang masih ingin berjuang bersama Kelantan walaupun mereka tidak dijanjikan kenaikan gaji ketika menyambung kontrak masing-masing.

‘‘Hari ini, saya mengumumkan gaji kesemua pemain Kelantan yang beraksi dengan skuad ini pada musim lalu dinaikkan pada musim depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis memperkenalkan pemain dan melancarkan pasukan Liga Super Kelantan 2010, semalam.

Majlis tersebut diadakan penuh meriah dengan kehadiran lebih 3,000 penyokong setianya.

Pada musim lepas, Kelantan menunjukkan prestasi yang amat memberangsangkan apabila layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia dan FA walaupun pertama kali beraksi di Liga Super.

Pun begitu, Kelantan gagal untuk menamatkan kemarau menjulang kedua-dua piala terbabit apabila tewas di perlawanan akhir kepada Selangor dan Negeri Sembilan.

Bagi musim ini, Kelantan telah membuat persiapan awal dengan membarisi beberapa pemain baru yang berstatus bintang seperti

Nurshahrul Idlan Talaha, Syed Adney Syed Hussein, S. Subramaniam, S. Chanturu, Azizi Mat Rose, Shakir Shaari dan Akmal Rizal Rakhli.

Ia sebahagian daripada usaha pasukan tersebut untuk mencapai sasaran tiga piala musim depan.

Anuar berkata, Kelantan merupakan antara pasukan terawal mengesahkan pemain-pemain yang akan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

Malah, katanya, beliau percaya skuad Kelantan mantap dengan mengambil beberapa pemain berpengalaman bagi mem perbaiki kelemahan dalam skuad itu sebelum ini.

“Saya berharap pemain-pemain Kelantan menunjukkan disiplin tinggi dan tidak terjebak dengan gejala-gejala yang boleh merosakkan pasukan seperti menjual perlawanan dan menerima rasuah.

‘‘Saya menaruh harapan pemain Kelantan dapat memenuhi sasaran memburu kejuaraan pada musim depan,” ujarnya.