Friday, August 12, 2011

Ukraine hampakan hajat Malaysia


Peluang Malaysia untuk melangkah ke peringkat suku akhir kabur setelah tumpas 1-2 kepada Ukraine pada perlawanan pembukaan Kumpulan B acara bola sepak Sukan Universiti Dunia (Universiade 2011) di Stadium Shenzhen, semalam.

Pada babak pertama kedua-dua pasukan bermain secara seimbang namun beberapa asakan yang dilakukan oleh Malaysia gagal menembusi kekebalan jentera pertahanan Ukraine yang merupakan juara Universiade edisi 2007 di Bangkok, Thailand.

Permainan pada babak kedua semakin rancak apabila kedua-dua pasukan ghairah memburu gol pertama dan kelebihan memihak kepada Malaysia apabila ketua pasukan, K. Reuben Thayaparan menjaringkan gol pertama pada minit ke-46.

Tertekan dengan kedudukan 0-1, pasukan Ukraine memperhebatkan asakan untuk mencari gol penyamaan.

Usaha mereka berhasil apabila Dmytro Gunchenko melakukannya pada minit ke-53.

Seminit sebelum perlawanan tamat, Mykhaylo Kozak menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-89 untuk membantu Ukraine memperoleh mata penuh.

Sementara itu, jurulatih skuad kebangsaan, Aminuddin Hussin berkata, walaupun mengalami kekalahan, beliau tetap berpuas hati dengan persembahan kesemua anak buahnya.

"Pemain telah menunjukkan aksi cemerlang apabila berjaya mengatasi Ukraine 1-0 pada babak awal babak kedua perlawanan namun disebabkan oleh beberapa kesilapan yang dilakukan secara individu kita gagal menyekat kemaraan Ukraine," katanya.

Aminuddin berkata, pelung untuk pasukan Malaysia masih belum tertutup dan berharap mereka mampu buktikan sesuatu pada perlawanan berikutnya.

Selepas ini, Malaysia dijadualkan bertemu Brazil pada Sabtu dan Rusia pada 16 Ogos.

Juara dan naib juara setiap kumpulan akan layak ke peringkat suku akhir.

No comments:

Post a Comment