Saturday, August 13, 2011

Aksi Apek tak terjejas

JURULATIH skuad bola sepak Olimpik negara, Ong Kim Swee tidak sesekali meragui kemampuan Khairul Fahmi Che Mat untuk terus memikul tanggung jawab besar sebagai kapten meskipun penjaga gol nombor satu negara itu dilanda masalah peribadi.

Menurut Kim Swee, Khairul Fahmi langsung tidak menunjukkan sebarang masalah ketika menjalani latihan bersama skuad Olimpik di Slovakia ketika ini biarpun sebelum ini wira Harimau Malaya itu membuat keputusan menggemparkan mahu memutuskan pertunangan dengan Aimie Harmelia Mohd Hashumi bulan lalu.


“Sebenarnya, saya tahu Apek (Khairul Fahmi) berdepan masalah peribadi sebelum perlawanan dengan Singapura lagi tapi dia tetap mempamerkan prestasi baik ketika perlawanan menentang Singapura di Bukit Jalil.

“Saya percaya dia pemain yang cukup profesional dan tidak perlulah saya dedahkan apa yang dia lakukan kerana sehingga kini saya puas hati dengan prestasi yang ditunjukkannya,” katanya.


Khairul Fahmi atau turut dikenali dengan panggilan Apek membuat keputusan mengejut mahu memutuskan pertunangan dengan Aimie Harmelia tiga hari selepas beraksi dengan skuad kebangsaan pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 dengan Singapura.


Walaupun dihimpit dengan masalah peribadi ketika itu, Khairul Fahmi tetap mempamerkan ketangkasan biarpun Malaysia tidak layak ke pusingan ketiga menerusi agregat 6-4 selepas seri 1-1 pada perlawanan kedua.

Kim Swee berkata, sejak menyertai latihan bersama skuad Olimpik di Slovakia, Khairul Fahmi sentiasa memberi komitmen tinggi dalam latihan.


Malah beliau menafikan kekalahan pertama anak buahnya di tangan kelab liga utama Hungary, Budapest Honved FC 4-1 Selasa lalu disebabkan kemerosotan prestasi penjaga golnya itu.

“Biarpun kami kalah apabila saya menurunkan Apek dalam perlawanan itu, itu tidak bermakna dia mempunyai masalah. Saya lihat kekalahan ini berpunca daripada aksi semua pemain, bukan sebab dia seorang saja,” jelas Kim Swee.


Pada tiga perlawanan awal, skuad Olimpik mencatat kemenangan ke atas kelab liga Slovakia, Bodva Moldava 1-0, Topvar Topolcany (2-1) dan Tatron Liptovsky Mikulas (2-1) sebelum tumpas kepada Honved FC.

No comments:

Post a Comment