Monday, August 8, 2011

Red Warriors dapat duit raya


Skuad Red Warriors menerima 'duit raya' apabila Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengumumkan pemberian bonus tambahan berjumlah RM222,000.

Tambahan bonus itu menyaksikan skuad itu bakal menerima habuan berjumlah RM502,000, di mana sebelum ini mereka menerima bonus berjumlah RM280,000 selepas menjuarai Liga Super 2011, buat kali pertama.

KAFA turut mengumumkan pemberian bonus sebanyak RM2,500 membabitkan jumlah keseluruhan RM60,000 bagi skuad Piala Presiden di bawah bimbingan Zahasmi Ismail.

Pemberian bonus terbaru itu dilakukan oleh Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa yang turut berbuka puasa bersama para pemain dan pegawai kedua-dua pasukan di kediamannya di Sri Puri, Bukit Marak dekat sini, kelmarin.

"Setakat ini kita telah membayar bonus kemenangan bagi tiap-tiap satu perlawanan berjumlah RM280,000. Memandangkan mereka berjaya mencipta kejuaraan buat kali pertama (Liga Super), kita putuskan untuk menambah sebanyak RM222,000 lagi menjadikan bonus keseluruhan sebanyak RM502,000 kepada semua pemain," katanya.

Annuar memberitahu, bonus tambahan itu diharap menyemarakkan lagi semangat pemain Red Warriors sebelum bermulanya saingan Piala Malaysia selepas Aidilfitri.

Mengenai imbuhan untuk skuad Piala Presiden pula, beliau berkata, ia merupakan insentif kepada pemain dan berharap pasukan itu mampu mengekalkan kecemerlangan.

"Mereka merupakan pemain-pemain pelapis yang akan menyarung jersi pasukan negeri pada masa akan datang.

"Seramai lima pemain daripada skuad ini akan diserapkan ke dalam pasukan utama bagi menghadapi saingan Piala Malaysia nanti. Kita harap dapat memberi peluang kepada mereka untuk mengembangkan lagi bakat ke peringkat lebih tinggi," kata Annuar.

No comments:

Post a Comment