Tuesday, August 16, 2011

Selangor tempang tanpa Khairul Anuar


Selangor menerima tamparan hebat menjelang sepak mula Piala Malaysia 6 September ini apabila terpaksa melupakan khidmat bek tengah berpengalaman, Khairul Anuar Baharum akibat kecederaan lutut.

Bekas pemain kebangsaan itu terpaksa dibedah ligamen depan lutut (ACL) dan bakal berehat beberapa bulan ketika turun pada 10 minit terakhir perlawanan persahabatan pra musim dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), minggu lalu.

Pengurus pasukan Gergasi Merah Datuk Hamidin Amin mengesahkan kehilangan Khairul Anuar, yang turut dikenali sebagai Acong yang cuba kembali menikmati suasana perlawanan dan mendapatkan tahap kecergasan sejak baru pulih daripada kecederaan pangkal paha.

Musibah baru ini sedikit sebanyak mampu menjejaskan perancangan jurulatih K. Devan bukan sahaja dalam menghadapi empat lagi persahabatan pra musim mulai esok hingga minggu depan, bahkan persaingan Kumpulan D Piala Malaysia.

Selepas memulakan pramusim dengan mengejutkan skuad kebangsaan 1-0, Selangor hanya menang 1-0 ke atas ATM di Stadium Shah Alam tetapi sekadar seri tanpa jaringan dengan Felda United di gelanggang sama, Sabtu lalu.

"Sekalipun cuma menang satu gol, keputusan semua perlawanan ini tidak begitu penting kerana matlamat sebenarnya ialah menguji gandingan dan percaturan tertentu serta mendapatkan momentum sebelum ke Piala Malaysia.

"Kami tidak mahu pasukan memuncak terlalu awal dalam siri persahabatan sehingga terlupa misi lebih penting ialah melakukannya dan menjulang Piala Malaysia musim ini," kata Hamidin, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Selangor akan berdepan Kelantan di gelanggang sama, esok dengan mengenakan tiket perlawanan berharga RM5 sebelum menentang Johor FC dan Sime Darby juga di situ dan bertandang ke Paroi untuk menghadapi naib juara 2010, Negeri Sembilan, minggu depan.

Musim ini menyaksikan Merah Kuning terlepas Piala Sultan Ahmad Shah dan sekadar menduduki tempat ketiga Liga Super biarpun sempat mendahului carta dalam beberapa minggu selain disekat Kelantan secara agregat 6-2 pada separuh akhir Piala FA.

Kegagalan merangkul salah satu gelaran Liga Super atau Piala FA itu meleburkan impiannya untuk kembali beraksi dalam Piala AFC 2012 setelah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membenarkan semula khidmat pemain import ke Liga M, musim depan.

No comments:

Post a Comment