Monday, August 15, 2011

Kalah penuh bermaruah


Pemain negara telah mengerah sehabis keringat sebelum tunduk 1-2 kepada kehebatan samba Brazil dalam acara bola sepak Kumpulan B Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2011 di Pusat Sukan Bao‘an Xixiang, semalam.

Kedua-dua gol Brazil dijaringkan Jefersom Berger pada minit ke-20 dan ke-69.

Gol tunggal Malaysia dijaringkan oleh Mohd. Bunyamin Omar pada minit ke-87 selepas Muhd. Afham Zulkepli dijatuhkan oleh penjaga gol Brazil, Carlos Nunes.

Kekalahan juga meranapkan peluang Malaysia untuk menghidu peluang ke suku akhir selepas gagal mengutip sebarang mata dalam dua perlawanan.

Meskipun begitu, tiada apa yang harus dikesali oleh anak-anak buah Aminuddin Hussin kerana telah mempamerkan semangat juang yang tinggi di samping dapat memberikan saingan hebat kepada dua pasukan berkelas dunia, Ukraine dan Brazil.

Berada pada kelas tersendiri, rentak samba Brazil sukar ditangani oleh barisan pemain Malaysia semenjak awal perlawanan.

Namun persembahan mantap ketua pasukan Amiriziwan Taj Tajudin pada bahagian pertahanan menutup ruang penyerang lawan yang ditunjangi Berger bermaharajalela mendapatkan gol.

Berger hampir meletakkan Brazil di hadapan namun percubaan leret pemain itu tersasar.

Namun dia tidak menunggu lama untuk meledak pada minit ke-12 hasil rembatan mudah dalam kotak penalti melalui gerakan menarik dari sebelah kiri pintu gol Malaysia.

Malaysia tetap mampu sekali-sekala melancarkan serangan balas walaupun tenggelam akibat penguasaan besar Brazil pada pertama melalui gerakan bijak Reuben Thayaparan yang melorongkan bola kepada Muhd. Nursalam Zainal Abidin yang keseorangan dalam kotak penalti.

Meskipun begitu, Nursalam melepaskan peluang keemasan terbaik mendapatkan gol walaupun hanya berhadapan satu antara satu dengan penjaga gol Brazil pada minit ke-35 apabila sepakan sipi ke bahagian kanan gawang lawan.

Perlawanan yang berat sebelah pada separuh masa pertama berjaya diimbangi oleh skuad negara pada babak kedua namun Brazil tetap mampu menggegar gawang Malaysia sekali lagi pada minit ke-69 oleh Berger.

No comments:

Post a Comment