Thursday, August 18, 2011

Fernandes semakin hampir kuasai QPR

an Sri Tony Fernandes dijangka mengambil alih Queens Park Rangers dalam tempoh 24 jam lagi dan menyatakan sokongan penuh terhadap pengurus kelab Liga Perdana Inggeris itu, Neil Warnock.

Ahli perniagaan terkemuka Malaysia itu bakal menjadi pemegang saham majoriti kelab dan difahamkan membeli lebih daripada 51 peratus pegangan, seperti yang dibincang sebelum ini.

Fernandes, yang memiliki syarikat penerbangan tambang murah Air Asia dan Team Lotus dalam F1 dilihat berada di Loftus Road, Sabtu lalu untuk menyaksikan perlawanan pembuka tirai QPR melayan kunjungan Bolton.

Meskipun dibelasah 0-4, Fernandes berkata: "Saya fikir Neil ialah seorang yang hebat dan dia menjalankan tugasnya dengan begitu cemerlang sehingga menjulang QPR pada kedudukan sekarang.

"Dia akan mendapat sokong penuh daripada saya. Saya fikir seseorang pengurus harus mendapat apa diingininya."

Pemimpin F1, Bernie Ecclestone yang memiliki 66 peratus saham dalam QPR berhasrat menjual pegangannya, justeru urus niaga kali ini pastinya menamatkan segala ikatannya dengan Loftus Road.

Hartawan industri keluli, Lakshmi Mittal juga diramal meningkatkan pegangannya kepada 33 peratus tetapi Fernandes akan memiliki kuasa penuh di QPR.

Satu sidang media bakal diadakan di Loftus Road hari ini bagi mengumumkan pengambilalihan tersebut.

Perkembangan itu pasti menggembirakan Warnock kerana Fernandes mahukan dia membawa masuk empat pemain baru sebelum tempoh perpindahan pemain berakhir.

No comments:

Post a Comment