Sunday, August 14, 2011

Mencongak strategi sekat 'Samba'

Tiada ruang lagi untuk satu lagi kekalahan buat skuad bola sepak Sukan Universiti Dunia (Universiade 2011) yang akan melakukan perhitungan dengan raja bola sepak dunia, Brazil di Pusat Latihan Sukan Bao'an Xixiang dalam aksi kedua Kumpulan B malam ini.

Berdepan misi berduri mencari kemenangan yang mungkin dianggap mustahil, jurulatih, Aminuddin Hussin masih menyimpan nada optimis bahawa anak-anak buahnya ada kemampuan mengalahkan Brazil.

Selepas melakukan tinjauan rapi perlawanan membabitkan Brazil dan Rusia dalam aksi sulung kumpulan yang berakhir dengan keputusan seri 1-1, dia mengakui sudah ada pelan tersendiri bagi menyekat rentak 'samba' Brazil.

''Apa yang saya lihat pada perlawanan antara Brazil dan Rusia dua hari lepas, kebanyakan pemain mereka ada skil individu yang tinggi dan kita perlu bermain mengikut taktikal tersendiri bagi mengekang pergerakan lawan.

''Jika pemain mengikut strategi yang betul dan pantas melakukan serang balas, kita mampu bersaing di samping harus bijak menyambar kesempatan yang ada dan tidak mustahil kita mampu mengalahkan Brazil.

Biarpun kagum dengan kemahiran bola sepak yang tinggi Brazil, jurulatih bawah 16 tahun negara berkata, dia dapat menghidu beberapa kelemahan yang mungkin dapat dieksploitasi bagi menghukum raja bola sepak dunia itu.

''Barisan pertahanan mereka saya dapati ada kelemahan tertentu yang mungkin boleh memberikan kita ruang menyerang.

''Saya akan melakukan strategi bersesuaian bagi memecahkan tembok pertahanan lawan walaupun tahu Brazil lebih gemar menguasai bola jika diikut cara permainan mereka," katanya

No comments:

Post a Comment