Wednesday, January 20, 2010

Selangor selesa

PENGUASAAN Selangor selaku pendahulu liga langsung tidak dicabar ketika skuad Gergasi Merah berpesta gol di Shah Alam dengan membelasah Pahang, 4-0 manakala pencabar terdekat, Terengganu sekadar berkongsi mata pada aksi Liga Super, malam tadi.

Skuad bimbingan K Devan tidak berdepan masalah melakarkan kemenangan keempat berturut-turut bermula dengan jaringan Mohd Safee Sali pada minit ke-34 sebelum diikuti Safiq Rahim pada m-55.


Penampilan pemain pertahanan, R Surendran dalam perlawanan kedua selepas pulih daripada kecederaan melengkapkan kemenangan bergaya Selangor apabila menyumbat dua gol pada m-77 dan m-83.


Di Stadium Sultan Mohamad IV, hasrat Kelantan untuk memastikan kemenangan kedua di depan penyokong sendiri tidak kesampaian apabila tumpas 1-0 kepada Kedah.


Jaringan tunggal Azlan Ismail pada m-41 cukup menceriakan Kedah yang sebelum ini dibelenggu dua kekalahan berturut-turut sekali gus melonjakkan kedudukan anak buah Ahmad Yusof di tangga kelima liga.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, pertembungan dua beradik, T-Team dan Terengganu menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi mata selepas terikat 1-1.


Terengganu terlebih dulu di depan pada m-71 menerusi jaringan Abd Manaf Mamat, namun kedudukan itu hanya bertahan enam minit selepas itu T-Team menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang Haris Safwan. menewaskan penjaga gol, Sharbinee Alawi.


Di Stadium JCorp Pasir Gudang, rekod tanpa kalah Johor FC lebur selepas tewas tipis 1-0 kepada Kuala Lumpur membolehkan skuad Lembah Klang itu mencatat kemenangan pertama.


Johor FC tersentak dengan gol awal anak didik Razip Ismail yang mengambil kesempatan daripada kealpaan benteng pertahanan pada m-18 selepas sepakan percuma Azidan Sarudin ditanduk Yong Xuong Yong, menewaskan penjaga gol, Mohd Anis Faron.


Di Stadium Perak, nasib tuan rumah menjadi persoalan selepas gagal mempamerkan aksi konsisten melakar kekalahan ketiga kepada Perlis.


Jaringan Azrol Ahmad pada m-74 sudah cukup buat Perlis melonjak ke tangga keempat mengumpul tujuh mata. daripada empat perlawanan.


Di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, juara Piala Malaysia, Negeri Sembilan menamatkan rekod tanpa kemenangan apabila menundukkan KL Plus, 2-1.

Di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri selepas terikat 1-1 dengan pasukan tercorot, Johor Pasir Gudang.

No comments:

Post a Comment