Tuesday, January 19, 2010

Sathianathan Tuntut Aksi Terbaik Red Warriors


Selepas gagal mendapat tiga mata di Perlis, pengendali skuad Kelantan, B. Sathianathan menuntut anak buahnya memberikan aksi terbaik menjelang pertemuan dengan Kedah malam ini bagi memastikan pasukan itu terus memberi saingan kepada pendahulu Liga Super.

Biarpun begitu, beliau memuji persembahan barisan pertahanan yang memberikan aksi mantap ketika perlawanan tersebut sehingga berjaya mengekang jentera serangan pasukan lawan.

Beliau berkata, untuk memastikan kemenangan malam ini, kesemua pemain dituntut supaya menggunakan peluang yang ada bagi menjaringkan gol.
Justeru itu, katanya, Kelantan tidak boleh mengambil mudah perlawanan menentang Kedah, malam ini kerana pasukan itu mempunyai barisan yang berpengalaman yang pernah dan sedang beraksi dengan skuad kebangsaan.

"Saya melihat pertemuan ini pasti sengit, walaupun Kedah kalah dua perlawanan berturut-turut saya percaya mereka akan turun bermati-matian untuk memburu tiga mata.

"Kita menghormati pasukan Kedah memandangkan mereka pernah muncul juara berganda.

''Saya mengingatkan supaya pemain mempamerkan aksi yang terbaik dan membuktikan kepada penyokong bahawa mereka mampu memberikan aksi terbaik," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Musim ini Kelantan bermula dengan aksi yang agak baik apabila tidak pernah tewas dalam tiga perlawanan serta mengekalkan rekod tanpa bolos setakat ini.

Finalis Piala Malaysia dan FA musim lalu yang dibarisi dengan beberapa pemain berpengalaman seperti Indra Putra Mahayuddin, Hairudin Omar, Akmal Rizal Rakhli, Nor Shahrul Idlan Talaha dan S. Chanturu meletakkan sasaran tiga piala pada tahun ini.

Menurut Sathianathan, Kelantan mungkin menurunkan penyerang sensasinya, Mohd. Nor Farhan Mohamad dan pertahanan, Zairol Fitri Ishak yang mengalami kecederaan sebelum ini untuk perlawanan menentang Kedah.

"Mohd. Nor Farhan masih belum cergas sepenuhnya dan beliau akan menjalani ujian kecergasan esok serta saya berharap agar beliau pulih sepenuhnya untuk menghadapi perlawanan malam esok (ini).

"Zairul Fitree pula sudah sembuh dan seharusnya cergas sepenuhnya dalam masa terdekat," katanya.

Sementara itu, Sathianathan meminta para penyokong supaya terus memberikan sokongan padu kepada pasukan kerana mereka adalah pemain ke-12 bagi Kelantan ketika beraksi serta peranannya mampu mengubah situasi perlawanan.

"Saya juga memohon kerjasama penyokong supaya tidak melakukan perbuatan yang tidak diingini seperti membaling botol dan mercun yang boleh menyebabkan imej pasukan tercalar.

"Tunjukkan kepada seluruh negara bahawa kita seorang yang berdisiplin dan penyabar apabila menonton bola sepak dan kita menghormati peraturan permainan," katanya.

No comments:

Post a Comment