Thursday, January 21, 2010

Sathianathan buat rombakan pemain atasi permainan hambar

Tekanan yang dihadapi oleh jurulatih Kelantan, B. Sathianathan memaksanya membuat rombakan bagi menghadapi perlawanan bertemu Johor FC, Sabtu ini.

Bagaimanapun, beliau akan terus mengekalkan penjaga gol utama skuad Kijang, Syed Adney Syed Hussin walaupun telah melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya untuk memberikan gol mudah kepada Kedah, kelmarin.

Sathianathan ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam berkata, rombakan itu sememangnya penting dalam mengembalikan semula prestasi skuadnya ke landasan sebenar selepas beraksi hambar dengan ketumpulan jentera serangan.

"Saya akan buat sedikit rombakan di semua posisi termasuklah jentera serangan yang tidak mampu untuk menjaringkan gol sebelum ini.

"Keadaan sekarang amat tertekan bagaimanapun saya mengambilnya sebagai positif untuk membina sebuah pasukan yang lebih mantap bagi mengharungi perlawanan akan datang," ujarnya.

Bagi bekas jurulatih skuad kebangsaan itu, tiga gol yang dihasilkan daripada empat perlawanan membuktikan bahawa jentera serangannya masih belum serasi dan memerlukan sedikit masa bagi membentuk gandingan yang benar-benar mantap.

"Kita masih lagi mencari keserasian terutama di posisi serangan dan berharap agar dapat mencarinya dalam masa yang terdekat," katanya.

Pada perlawanan, kelmarin, Kelantan gagal meraih tiga mata berharga di laman sendiri gara-gara sikap sambil lewa penjaga gol, Syed Adney.

Segalanya bermula pada minit ke-41 apabila Syed Adney yang menerima hantaran rakan sepasukan gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya sehingga mengundang padah dengan memberikan kemenangan kepada Kedah.

Gol tersebut ternyata mengecewakan lebih 20,000 peminat setia Kelantan yang hadir menyaksikan perlawanan tersebut.

Kekalahan kepada Kedah menyaksikan Kelantan hanya mengumpul lima mata hasil daripada satu kemenangan dan dua seri untuk menghuni tangga ketujuh liga.

Mengulas lanjut mengenai prestasi penjaga gol kelahiran Liverpool itu, Sathianathan berkata, Syed Adney perlu lebih fokus.

"Kesilapan itu tidak sepatutnya berlaku tetapi saya lupakan kesilapan tersebut. Saya masih percaya kepada kredibiliti Syed Adney berdasarkan persembahannya dalam tiga perlawanan sebelum ini dan kita amat berharap dia akan menunjukkan prestasi yang sebenar," katanya.

Dalam pada itu, Sathianathan menyeru semua pemain supaya bangkit dan melupakan kekalahan kelmarin dengan menjadikannya sebagai pengajaran yang amat berguna.

"Para pemain harus menunjukkan kebolehan mereka demi mengembalikan semula kepercayaan penyokong setia.

"Saya berharap penyokong bersabar dan beri sedikit masa kepada pasukan untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada," katanya.

No comments:

Post a Comment