Saturday, August 13, 2011

Selangor uji Red Warriors

IBARAT meneruskan persengketaan dalam kancah bola sepak tempatan, Selangor dan Kelantan akan mengadakan perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, Rabu ini sebagai sebahagian daripada rangka persiapan untuk menghadapi saingan Piala Malaysia.

Skuad Merah Kuning jelas mencari kemenangan moral untuk menyuntik semangat bagi memburu piala berprestij yang terakhir ditawarkan musim ini.


Hakikat itu diakui sendiri jurulatihnya, K Devan yang sudah mencatatkan dua kemenangan berturut-turut dalam aksi persahabatan sebelum ini menentang Harimau Malaya dan ATM dengan keputusan 1-0.

“Kami memerlukan perlawanan berstatus tinggi bagi mengembalikan semangat pemain selepas gagal meraih sebarang piala yang dipertandingkan.


“Kelantan adalah antara pasukan yang mampu memberikan tentangan yang sengit kepada Selangor,” katanya yang akan menentang The Red Warriors selepas aksi perlawanan persahabatan ketiga menentang Felda United malam ini.


Musim ini, Kelantan mengecewakan Selangor apabila berjaya merampas Piala Sultan Ahmad Shah pada aksi pembuka tirai yang berterusan sehingga persaingan merebut takhta Liga Super yang menyaksikan The Red Warriors sekali lagi mengecewakan skuad Merah Kuning.

Malah The Red Warriors turut menyingkirkan Selangor pada separuh akhir Piala FA dengan agregat 6-2.


“Saya mungkin tidak dapat menurunkan barisan terkuat kerana tiga pemain Harimau Malaya -Mohd Safiq Rahim, Mohd Amirulhadi Zainal, Mohd Asraruddin Putra Omar - akan diberikan cuti selama beberapa hari selepas latihan skuad negara tamat semalam. Namun ia peluang saya untuk terus mencuba kombinasi baru,” katanya

Perak rayu campur tangan Sultan

PERAK mengguna segala saluran termasuk merayu kepada Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah terhadap penggantungan tujuh perlawanan sejak 18 Julai lalu kepada lima tonggaknya.

Pengurus pasukan, Khairul Azwan Harun berkata langkah itu diambil kerana Perak mahu melihat keadilan diberikan terhadap kepada pemain terbabit iaitu Shahrulnizam Mustafa, Akmal Rizal Ahmad Rakhili, Nasril Nourdin, Mohd Syazwan Roslan dan Azmeer Yusof.


Kelima-lima pemain dikenakan tindakan itu oleh Jawatankuasa Tatatertib kerana mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pengadil selepas perlawanan Liga Super dengan Sabah di Stadium Lumut 19 Mei lalu serta kelewatan menjawab surat pertuduhan.

Khairul Azwan yang juga Bendahari Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) berkata, dua surat rayuan sudah dikemukakan kepada FAM termasuk kepada Presiden FAM.


“Kami berasa hukuman yang dikenakan itu terlalu keras serta tidak setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan.


“Memang saya mengakui pemain terbabit ada melemparkan kata-kata kesat terhadap pengadil tetapi tiada sebarang sentuhan fizikal berlaku ,”katanya.

Pengurus Seladang itu mengaku Perak bakal terhimpit jika hukuman itu tetap dilaksanakan kerana Perak hanya dapat menggunakan khidmat pemain terbabit hanya di peringkat suku akhir itupun jika Seladang layak.


Justeru beliau mengharapkan campur tangan daripada Sultan Ahmad Shah untuk menyelesaikan kemelut yang mengancam perancangan dan impian Perak untuk melakar kejayaan dalam piala berprestij itu.

“Apa yang penting ialah Pafa mahu pemain terbabit diberikan peluang untuk menyatakan versi mereka kepada FAM,” katanya.

Aksi Apek tak terjejas

JURULATIH skuad bola sepak Olimpik negara, Ong Kim Swee tidak sesekali meragui kemampuan Khairul Fahmi Che Mat untuk terus memikul tanggung jawab besar sebagai kapten meskipun penjaga gol nombor satu negara itu dilanda masalah peribadi.

Menurut Kim Swee, Khairul Fahmi langsung tidak menunjukkan sebarang masalah ketika menjalani latihan bersama skuad Olimpik di Slovakia ketika ini biarpun sebelum ini wira Harimau Malaya itu membuat keputusan menggemparkan mahu memutuskan pertunangan dengan Aimie Harmelia Mohd Hashumi bulan lalu.


“Sebenarnya, saya tahu Apek (Khairul Fahmi) berdepan masalah peribadi sebelum perlawanan dengan Singapura lagi tapi dia tetap mempamerkan prestasi baik ketika perlawanan menentang Singapura di Bukit Jalil.

“Saya percaya dia pemain yang cukup profesional dan tidak perlulah saya dedahkan apa yang dia lakukan kerana sehingga kini saya puas hati dengan prestasi yang ditunjukkannya,” katanya.


Khairul Fahmi atau turut dikenali dengan panggilan Apek membuat keputusan mengejut mahu memutuskan pertunangan dengan Aimie Harmelia tiga hari selepas beraksi dengan skuad kebangsaan pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 dengan Singapura.


Walaupun dihimpit dengan masalah peribadi ketika itu, Khairul Fahmi tetap mempamerkan ketangkasan biarpun Malaysia tidak layak ke pusingan ketiga menerusi agregat 6-4 selepas seri 1-1 pada perlawanan kedua.

Kim Swee berkata, sejak menyertai latihan bersama skuad Olimpik di Slovakia, Khairul Fahmi sentiasa memberi komitmen tinggi dalam latihan.


Malah beliau menafikan kekalahan pertama anak buahnya di tangan kelab liga utama Hungary, Budapest Honved FC 4-1 Selasa lalu disebabkan kemerosotan prestasi penjaga golnya itu.

“Biarpun kami kalah apabila saya menurunkan Apek dalam perlawanan itu, itu tidak bermakna dia mempunyai masalah. Saya lihat kekalahan ini berpunca daripada aksi semua pemain, bukan sebab dia seorang saja,” jelas Kim Swee.


Pada tiga perlawanan awal, skuad Olimpik mencatat kemenangan ke atas kelab liga Slovakia, Bodva Moldava 1-0, Topvar Topolcany (2-1) dan Tatron Liptovsky Mikulas (2-1) sebelum tumpas kepada Honved FC.

Saingan musim ini sengit - Terry


Ketua pasukan Chelsea, John Terry menjangkakan persaingan sengit untuk merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2010/11 yang bermula hari ini berlandaskan perbelanjaan besar kelab-kelab elit England.

Terry percaya penyandang juara, Manchester United kekal sebagai pasukan untuk dicemburui selepas kelab tersebut mendapatkan beberapa pemain baru termasuk, Ashley Young, penjaga gol Sepanyol, David De Gea dan pertahanan Blackburn, Phil Jones.

Bagaimanapun, pemain berusia 30 tahun yang berpangkalan di Stamford Bridge itu percaya, separuh daripada satu dozen pasukan mampu untuk bersaing merebut gelaran juara, termasuk Manchester City dan Liverpool yang begitu aktif dalam pembelian pemain.

"Saya bimbang dengan kebanyakan pasukan musim ini, semua orang telah memperkukuhkan pasukan masing-masing.

"Manchester City dan Manchester United telah membawa masuk beberapa pemain yang bagus, Liverpool telah banyak melakukan perubahan.

"Terdapat enam atau tujuh pasukan yang mampu melonjak dan mempunyai peluang untuk memenangi trofi," kata Terry pada pelancaran rasmi EPL minggu ini.

Terry bagaimanapun mengakui United akan tetap menjadi halangan besar buat Chelsea untuk kembali meraih kejuaraan selepas kali terakhir mereka lakukan pada 2010.

"Kami masih boleh mengejar Manchester United, mereka telah menjadi penanda aras sejak 20 tahun. Kami berjaya bersaing dengan mereka musim lepas tetapi gagal di saat akhir.

"Kita semua dapat melihat kualiti mereka dan keghairahan yang mereka ada, begitu juga dengan pengurus. Ia sangat mengujakan saya dan melihat mereka menjulang trofi musim lepas amat dirasai sehingga sekarang. Saya mahu tangan saya kembali memegang dan menjulang trofi itu.

"Kejohanan ini sentiasa meningkat dari tahun ke tahun. Pemain menjadi semakin kuat dan pengurus mahukannya lebih," katanya.

Chelsea akan memulakan kempen mereka menentang Stoke di tempat lawan esok, sementara Manchester United akan memburu kejuaraan liga ke-20 dengan bertemu West Bromwich Albion di Hawthorns.

Selepas dikecewakan musim lepas, apabila United dimalukan Barcelona dalam saingan akhir Liga Juara-Juara Eropah di Wembley, Alex Ferguson tidak membuang masa untuk menyusun semula pasukannya selepas 25 tahun berada di Old Trafford.

Kedatangan Young, De Gea dan Jones, termasuk kedatangan semula pemain yang dipinjamkan kepada kelab lain, Tom Cleverly dan Danny Welbeck, menyaksikan pasukan United seperti sebuah pasukan yang muda dan segar.

Pemain pertahanan Perancis, Patrice Evra yakin terhadap kemampuan pasukannya musim ini.

"Saya tahu pasukan lain tidak akan menyerah kalah tetapi jika Manchester United beraksi pada tahap ini ia sangat sukar untuk mereka menewaskan kami.

"Musuh utama United adalah United. Kami bukannya angkuh. Chelsea musuh kedua kami," kata Evra.

United juga mendapat tentangan sengit pasukan jiran, City selepas mereka mendapatkan pemain baru, Sergio Aguero, Gael Clichy dan Stefan Savic.

Sementara itu, Arsenal pengurus Arsenal, Arsene Wenger bakal berdepan tugas sukar berikutan dua pemainnya ketua pasukan, Cesc Fabregas dan pemain perancang, Samir Nasri dikatakan akan berhijrah.

Kedua-dua pemain tersebut dijangka melengkapkan perpindahan ke Barcelona dan City sebelum musim baru bermula dengan Wenger mengakui situasi Fabregas akan selesai secepat mungkin.

Friday, August 12, 2011

Perpindahan Pemain Untuk Kempen Piala Malaysia .


Berikut adalah senarai pemain yang dipinjam pasukan yang bertanding dalam Saingan Piala Malaysia 2011.Berdasarkan dari senarai tersebut, pemain dari Harimau Muda menjadi pilihan kebanyakan pasukan yang bertanding manakala pemain dari Pahang turut menjadi rebutan.


Kelantan

Azamuddin Mohd Akil - Pahang FA
R. Surendran - Pahang FA

Kedah

Azmizi Azmi - Perlis FA
Bashahrul Abu Bakar - Harimau Muda A

Selangor

G.Jeevanathan - USM FC
Muhamad Nazri Ahmad - Harimau Muda B
Haziq Zikri Elias - Harimau Muda B

Perak

Mohd Hafiszuan Salehuddin - Perlis FA
Mohd Failee Mohamad Ghazli - USM FC
Muhammad Rafiuddin Roddin - Harimau Muda A)

T-Team

Mohd Jibrail Kamaron Baharin - Pos Malaysia FC
Mohd Fitri Omar - MP Muar FC

Johor FA

Mohd Redzuan Bin Nawi - USM FC
Ashadi Bin Mohd Yuso - ATM
Mohd Noraslan Bin Makhta - Pulau Pinang FA

Sarawak

Chung Keng Hong - ATM
Jaganathan Victor Arputharajoo - ATM

Felda United

K. Ravindran - Harimau Muda A
S. Sivanesan - Harimau Muda A
D. Saarvindran - Harimau Muda B (Hampir Pasti)

Negeri Sembilan

Munir Amran - Pahang FA

Terengganu

Faizal Mohamad

Rajagobal tutup kem latihan


KEM latihan pusat skuad bola sepak kebangsaan selama 10 hari bermula 3 Ogos berakhir hari ini.Sepanjang kem tersebut, hanya satu perlawanan ujian sahaja sempat diharungi skuad negara ketika menentang Selangor pada 6 Ogos lalu berikutan pembatalan dua aksi persahabatan antarabangsa menentang Oman dan Indonesia.

Namun jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal tidak menganggap kem latihan sempena bulan Ramadan ini satu kegagalan akibat ketiadaan perlawanan persahabatan antarabangsa.

"Memang sepatutnya kita bertemu Selangor tempoh hari sebagai persediaan untuk menentang Oman pada 10 Ogos (kelmarin) tetapi perlawanan itu dibatalkan. Begitu juga perlawanan menentang Indonesia.

"Walaupun tiada perlawanan persahabatan antarabangsa, saya fikir bahawa kesempatan selama 10 hari ini dapatlah untuk saya melihat perkembangan pemain-pemain baru yang dipanggil sepanjang sesi latihan.

"Apabila kita tak dapat satu perlawanan yang berkualiti, lebih baik kita tumpukan perhatian kepada sesi latihan pusat ini," kata Rajagobal ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Untuk kem latihan kali ini, Rajagobal telah memanggil beberapa muka lama yang diketepikan sebelum ini akibat kecederaan seperti Farizal Marlias, Khyril Muhymeen Zambri, Norhafiz Zamani Misbah dan Faizal Muhamad.

Manakala beberapa pemain baru turut diberi kesempatan untuk dinilai prestasi mereka seperti Joseph Kalang Tie, Shahrom Kalam dan penjaga gol, Norazlan Razali.

Rajagobal turut membayangkan bahawa kem latihan skuad kebangsaan akan kembali bersambung pada November depan selepas tamat saingan Piala Malaysia yang akan berlangsung dari 6 September hingga 29 Oktober depan.

"Buat masa ini tiada aksi persahabatan untuk Oktober tetapi mungkin jika ada pasukan yang layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2014 yang ajak lawan, kita akan pertimbangkan.

"Jika tidak, kem latihan dan aksi persahabatan hanya akan bersambung pada November depan untuk kita buat persiapan serius menghadapi Piala Suzuki AFF 2012 dan Kelayakan Piala Asia 2013," jelas Rajagobal.

Ukraine hampakan hajat Malaysia


Peluang Malaysia untuk melangkah ke peringkat suku akhir kabur setelah tumpas 1-2 kepada Ukraine pada perlawanan pembukaan Kumpulan B acara bola sepak Sukan Universiti Dunia (Universiade 2011) di Stadium Shenzhen, semalam.

Pada babak pertama kedua-dua pasukan bermain secara seimbang namun beberapa asakan yang dilakukan oleh Malaysia gagal menembusi kekebalan jentera pertahanan Ukraine yang merupakan juara Universiade edisi 2007 di Bangkok, Thailand.

Permainan pada babak kedua semakin rancak apabila kedua-dua pasukan ghairah memburu gol pertama dan kelebihan memihak kepada Malaysia apabila ketua pasukan, K. Reuben Thayaparan menjaringkan gol pertama pada minit ke-46.

Tertekan dengan kedudukan 0-1, pasukan Ukraine memperhebatkan asakan untuk mencari gol penyamaan.

Usaha mereka berhasil apabila Dmytro Gunchenko melakukannya pada minit ke-53.

Seminit sebelum perlawanan tamat, Mykhaylo Kozak menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-89 untuk membantu Ukraine memperoleh mata penuh.

Sementara itu, jurulatih skuad kebangsaan, Aminuddin Hussin berkata, walaupun mengalami kekalahan, beliau tetap berpuas hati dengan persembahan kesemua anak buahnya.

"Pemain telah menunjukkan aksi cemerlang apabila berjaya mengatasi Ukraine 1-0 pada babak awal babak kedua perlawanan namun disebabkan oleh beberapa kesilapan yang dilakukan secara individu kita gagal menyekat kemaraan Ukraine," katanya.

Aminuddin berkata, pelung untuk pasukan Malaysia masih belum tertutup dan berharap mereka mampu buktikan sesuatu pada perlawanan berikutnya.

Selepas ini, Malaysia dijadualkan bertemu Brazil pada Sabtu dan Rusia pada 16 Ogos.

Juara dan naib juara setiap kumpulan akan layak ke peringkat suku akhir.

Terengganu pinjam pemain Harimau Muda

Pemain pertahanan Harimau Muda, Faizal Mohamad dipinjam kepada Terengganu bagi menghadapi Piala Malaysia.

Penolong Pengurus pasukan Terengganu, Sheikh Tajudin Sheikh Yusof berkata, Faizal yang berasal dari Marang merupakan pemain tunggal yang dipinjam Terengganu.

"Untuk pertandingan Piala Malaysia, kita cuma pinjam seorang pemain pasukan Harimau Muda bagi memastikan kecemerlangan kita dalam kejohanan itu," katanya semalam.

Beliau percaya barisan pertahanan Terengganu akan bertambah kental dengan kehadiran pemain tersebut.

"Faizal mula berlatih sejak semalam bersama-sama pemain yang lain," katanya yang juga Naib Yang Dipertua Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT).

Sheikh Tajudin juga berkata, walaupun pemain pertahanan Mohd. Zubir Azmi tidak dapat bersama Terengganu dalam empat perlawanan awal, ia tidak membimbangkan kerana ada pengganti kepada pemain itu.

Mohd. Zubir menjalani latihan bersama pasukan kebangsaan.

Terengganu, Negeri Sembilan, PKNS dan Sime Darby diletakkan dalam Kumpulan B undian Piala Malaysia.

Thursday, August 11, 2011

Chelsea sedia korban Benayoun

Chelsea masih tidak mahu menyerah kalah bagi mendapatkan khidmat perancang Tottenham Hotspur (Spurs), Luka Modric.

Bagi merealisasikan impian mereka itu, Chelsea bersedia mele- paskan pemain tengahnya, Yossi Benayoun sebagai pertukaran.

Berita itu pasti dianggap satu perkhabaran gembira buat pengurus Spurs, Harry Redknapp.

Ini kerana Redknapp telah lama teruja dengan kelibat pemain tengah Isreal itu dan menunjukkan minatnya untuk melamar Benayoun apabila dia meninggalkan Liverpool tahun lalu.

Benayoun yang berhijrah ke Stamford Bridge dilihat masih gagal memberikan impak disebabkan masalah kecederaan di baha- gian tumit kaki.

Pada Siri Jelajah Chelsea di Asia bulan lalu, dia telah menunjukkan prestasi cemerlang, namun pengurus baharu The Blues, Andre Villas-Boas sanggup mengorbankan bekas pemain West Ham United itu untuk mendapatkan Modric.

Sejak tiba dari FC Porto pada Jun lalu, Villas-Boas sering kali bercakap mengenai keupayaan pemain yang mampu mengikut corak permainan yang diterapkannya.

Sekalipun Benayoun dilihat berada dalam kelompok pemain yang dimaksudkan, Villas-Boas tidak ada pilihan lain kecuali membuat pertukaran pemain dengan Spurs jika dia tetap mahu mengikat Modric.

Justeru, Benayoun dianggap sebagai calon terbaik buat Villas- Boas untuk membuat pertukaran pemain.

Terdahulu, Spurs telah menolak tawaran Chelsea sebanyak dua kali.

Kali pertama, mereka menolak bidaan berjumlah £22 juta (RM109 juta) dan keduanya, sebanyak £27 juta (RM134 juta).

Spurs tetap yakin mereka mampu menghalang Chelsea daripada mengikat Modric untuk tempoh sekurang-kurangnya satu musim.

Namun dengan tawaran terbaharu Chelsea dan Modric juga nekad untuk meninggalkan White Hart Lane, Spurs dijangka mele- paskan pemain antarabangsa Croatia itu.

Surendran lengkap pemain pinjaman skuad Kelantan


Teka-teki siapa yang akan menjadi pemain pinjaman terakhir skuad bimbingan Datuk M. Karathu akhirnya terjawab apabila penyerang Pahang, R. Surendran menyatakan persetujuan untuk menyarung jersi Kelantan bagi menghadapi saingan Piala Malaysia musim ini.

Kehadiran pemain tersebut dilihat memberikan lebih banyak pilihan kepada Karathu untuk merencana jentera serangan The Red Warriors untuk kempen kali ini.

Pengurus Pasukan Kelantan, Azman Ibrahim yang mengesahkan perkara itu berkata, pemain tersebut akan mula melaporkan diri pada hari ini dan seterusnya menjalani latihan bersama pasukan pada sebelah malam.

"Segala urusan dokumentasi pendaftaran pemain ini akan dilakukan oleh pihak Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) hari ini (semalam) kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). InsyaAllah kita berharap semuanya berjalan lancar dan tidak menghadapi masalah untuk mendaftarkan Surendran," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Azman memberitahu, kehadiran dua pemain tersebut dianggap sudah memadai buat Kelantan dalam memperkuatkan jentera serangan.

"Kita rasa dua pemain ini sudah cukup, lagipun Kelantan mempunyai ramai penyerang tempatan. Jadi saya harap kehadiran dua tunggak ini mampu membantu pemain tempat untuk mempelajari sesuatu daripada mereka.

"Secara tidak langsung akan membantu meningkatkan mutu permainan mereka di masa akan datang," ujarnya.

Dalam pada itu, Azman memberitahu, selain dua perlawanan tempatan, Kelantan juga dijadual mengadakan perlawanan persahabatan menentang sebuah kelab di Songkla, Thailand pada 26 Ogos iaitu selepas pertemuan dengan T-Team (24 Ogos) dan Kuala Lumpur (14 Ogos).