Sunday, January 3, 2010

‘Mustahil kekalkan skuad B 23’


Cadangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk ‘menghalang’ pemain skuad bola sepak Bawah 23 negara yang memenangi emas di Sukan SEA Laos untuk tidak bermain dengan pasukan negeri atau kelab sukar untuk dilaksanakan.

Ia disebabkan faktor kewangan yang dihadapi oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta masalah teknikal yang bakal berlaku jika cadangan tersebut hendak dilaksanakan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata, masalah kewangan adalah perkara utama yang bakal membantutkan cadangan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek untuk melihat pemain skuad emas itu tidak mewakili mana-mana pasukan dalam Liga Malaysia.

Katanya, kos beraksi di luar negara adalah tinggi dan FAM juga perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu daripada mana-mana negara yang ingin membenarkan skuad tersebut beraksi dalam liga mereka.

Selain itu katanya, ia juga bakal menimbulkan masalah teknikal apabila melibatkan kontrak pemain dengan pasukan mereka ketika ini dan perkara tersebut perlu mendapat kelulusan daripada ahli gabungan FAM.

“FAM menyambut baik cadangan Datuk Ahmad Shabery Cheek supaya pemain skuad Bawah 23 negara tidak bermain dengan mana-mana persatuan negeri atau kelab.

“Ia jelas menunjukkan KBS mahu memberi perhatian serius kepada sukan bola sepak negara dan melihat sukan kesayangan rakyat negara ini terus maju di peringkat antarabangsa.

“Namun, cadangan tersebut bakal menimbulkan beberapa isu teknikal yang perlu diatasi oleh FAM dan ahli gabungan, terutama dari segi kontrak, gaji, kebajikan pemain dan jurulatih.

“Faktor kewangan FAM juga perlu diambil kira kerana ia bakal melibatkan dana yang besar untuk membawa skuad emas ini beraksi di luar negara.

“FAM kini menanggung tiga buah pasukan secara langsung iaitu skuad Bawah 23, Harimau Muda A dan Harimau Muda B.

“Oleh yang demikian, bagi menjayakan hasrat Menteri Belia dan Sukan, FAM perlu mendapat sokongan penuh daripada KBS serta ahli gabungan FAM,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis makan tengahari bagi meraikan kejayaan skuad bimbingan K. Rajagobal di Restoran Salero Negori, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Azzuddin berkata, hanya beberapa pemain skuad Bawah 23 yang di bawah kontrak FAM, manakala selebihnya terikat dengan persatuan negeri dan kelab.

Katanya, perkara tersebut menyentuh polisi peraturan perlembagaan FAM dan ia perlu mendapat persetujuan daripada ahli gabungan.

Sehubungan itu katanya, dia tidak boleh memberi kata putus berhubung cadangan Menteri Belia dan Sukan tersebut, sebaliknya akan mengemukakan cadangan dinamik tersebut kepada Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah dan kemudiannya dibawa ke mesyuarat Exco.

Katanya, FAM perlu mendengar pendirian ahli gabungan berhubung perkara tersebut dan badan pengurusan bola sepak negara itu juga perlu mendapat kelulusan daripada pihak tersebut.

Ancelotti tetap optimis


Bos Chelsea, Carlo Ancelotti tidak mengendahkan ketiadaan Didier Drogba, John Mikel Obi, Michael Essien dan Salomon Kalou yang menyertai kejohanan Piala Negara Afrika sambil mendakwa kejohanan tersebut diadakan kena pada masanya.

Pendahulu Liga Perdana England itu berdepan Watford pada pusingan ketiga Piala FA hari ini, sebelum perlawanan liga menentang Hull, Sunderland, Birmingham dan Burnley di sepanjang Januari ketika kejohanan negara Afrika itu berlangsung di Angola.

Walaupun kejohanan Negara Afrika berlangsung selama tiga minggu, Ancelotti berkata, dia tidak akan menolak untuk mengambil pemain baru dari Afrika pada masa akan datang.

Katanya: “Saya rasa apabila pemain beraksi untuk pasukan kebangsaan, ia bukan masalah. Ia sama seperti para pemain di Eropah.

“Setiap pemain boleh beraksi untuk pasukan kebangsaan mereka. Ia bukan masalah bagi pemain Afrika.

‘‘Ia merupakan peluang terbaik untuk pemain muda membuktikan kualiti mereka. Saya harap mereka akan melaksanakan tugas dengan baik kerana saya percayakan para pemain ini,’’ katanya.

Apa yang pasti, Ancelotti akan merasai pengalaman pertama cabaran saingan Piala FA esok, dan pengurus dari Itali itu sudah bersiap sedia untuk merasai satu perlawanan yang berbeza di England berbanding di Itali.

Di Itali, kejohanan kalah mati tidak dipedulikan termasuk kelab AC Milan dan Juventus, yang pernah dibimbing oleh Ancelotti.

Ramai yang percaya, Piala FA tiada lagi tempat di hati peminat bola sepak England, namun Ancelotti sedar trofi Piala FA masih kekal sebagai satu trofi yang berbaloi dan ini dibuktikan oleh Chelsea musim lalu apabila bangkit dari ketinggalan mengalahkan Everton pada perlawanan akhir.

“Ia pertandingan yang sangat penting di England. Di Itali, Piala Itali tidaklah begitu penting.

“Kami mahu melakukan yang terbaik dan ia merupakan salah satu objektif kami, sasaran kami. Tahun lalu, kami memenanginya. Kami mahu melakukan yang terbaik tahun ini,’’ katanya.

Ancelotti sudah pasti akan mengambil pengajaran yang pernah dialami oleh Chelsea pada tahun lalu ketika dibimbing Luis Felipe Scolari apabila nyaris terkeluar daripada pertandingan Piala FA.

Chelsea dipaksa seri ketika beraksi di tempat sendiri oleh Southend United, yang hanya beraksi di Divisyen Tiga dan walaupun berjaya memenangi perlawanan ulangan, pengurus dari Brazil itu dipecat sebulan selepas itu.

Ancelotti juga tidak mahu terperangkap dengan jadual perlawanan liga kerana mereka akan berhadapan dengan lawan mudah, tambahan pula mereka masih kekal sebagai pendahulu liga memasuki tahun baru.

‘‘Saya mahu meletakkan pasukan yang terbaik dalam setiap perlawanan yang dihadapi, walaupun kehilangan beberapa tonggak penting seperti Didier Drogba, Salomon Kalou, John Obi Mikel dan Michael Essien yang beraksi pada kejohanan Piala Negara Afrika,’’ katanya.

Saturday, January 2, 2010

KBS minta FAM 'simpan' skuad B-23


KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan menyarankan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya pemain skuad bawah 23 tahun (B-23) negara tidak dilepaskan beraksi dengan pasukan negeri atau kelab dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) tahun ini.

Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, sewajarnya skuad B-23 yang memenangi pingat emas pada Sukan SEA XXV di Laos baru-baru ini, kekal sebagai pemain kebangsaan, bukannya sebagai pemain untuk pasukan negeri dan kelab.

"Kita akan berunding dengan FAM untuk menyuarakan perkara ini supaya mereka tidak boleh pergi bermain untuk negeri dan kelab tetapi kekal sebagai pemain kebangsaan.

"Ini kerana bukan semua pasukan negeri dan jurulatihnya mampu memberikan tahap lati- han, kemahiran dan stamina mengikut standard pemain kebangsaan," katanya kepada pemberita di Kuala Lipis semalam.

Ahmad Shabery berkata, pendekatan itu juga perlu diambil bagi mengelakkan pemain-pemain menjual permainan sekira- nya pengurusan negeri dan kelab gagal menawarkan gaji tinggi kepada mereka.

"Kita juga tidak boleh samakan seperti di England iaitu dalam Liga Perdana England kerana tahap kemahiran dan stamina pemain kelab lebih tinggi daripada pasukan kebangsaan mereka.

"Kelab seperti Manchester United, Liverpool, Chelsea dan beberapa pasukan lain mempunyai pemain terbaik dan bertaraf dunia tetapi pemain kebangsaan mereka gagal pada peringkat dunia," kata beliau.

Bagaimanapun beliau berkata, barisan pemain B-23 perlu diberikan lebih banyak pendedahan dengan berlatih dan bermain dengan pasukan kelab di luar negara.

Ahmad Shabery berkata, skuad B-23 yang berjaya menundukkan Syria 4-1 dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini telah membuktikan pemain-pemain semakin serasi.

Beliau turut berharap kesemua pemain itu terus dikekalkan bagi mewujudkan kesefaha- man yang jitu dan dapat memainkan peranan masing-masing semasa beraksi di padan

Rajagobal resah kecederaan tonggak


ecederaan dua pemain tonggak, Mohd. Amri Yahyah dan Mohd Sabre Mat Abu meresahkan jurulatih K. Rajagobal, menjelang perlawanan pusingan kelayakan Piala Asia 2011 menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 6 Januari ini.

Lima hari menjelang perlawanan tersebut, belum ada kepastian kedua-duanya bakal pulih tepat pada masanya untuk diturunkan pada perlawanan di Dubai nanti.

Untuk itu, Rajagobal berkata, beliau akan memantau kecederaan yang dialami oleh kedua pemain itu sebelum memutuskan kesebelasan utama bagi perlawanan tersebut.

Tanpa menyebut secara spesifik mengenai kecederaan yang dialami oleh Mohd. Amri dan Mohd. Sabre, Rajagobal juga berkata, setakat ini beliau belum mempunyai senarai 11 pemain yang akan diturunkan kelak.

''Saya akan membuat keputusan pada saat akhir bagi menilai terlebih dahulu kekuatan mental pemain, selain daripada faktor kecederaan yang dialami oleh para pemain lain.

''Terdapat juga beberapa pemain lain selain Amri dan Sabre yang mengalami kecederaan, namun ia tidaklah terlalu serius dan masih boleh diturunkan bagi menghadapi UAE,'' katanya ketika dihubungi, semalam.

Pemain Selangor, Mohd. Amri sering bertindak sebagai perancang kepada bahagian serangan manakala Sabre, yang bermain di posisi pertahanan merupakan dua tonggak penting kepada skuad kebangsaan.

Perlawanan dengan UAE merupakan perlawanan terakhir skuad negara untuk menutup tirai cabaran dalam Kumpulan C pusingan kelayakan ke Piala Asia 2011.

Di atas kertas, peluang Malaysia untuk layak ke pusingan akhir ternyata sukar apabila gagal mengutip sebarang mata dalam kumpulan yang dihuni oleh Uzbezkistan dan UAE.

Satu-satunya peluang untuk Malaysia layak ke pusingan akhir ialah dengan menang besar ke atas UAE, seterusnya mengharapkan UAE kalah dengan jaringan yang besar apabila berdepan Uzbezkistan.

Dalam pada itu, Rajagobal berkata beliau akan menurunkan barisan terkuat walaupun menyedari perlawanan di Dubai mungkin tidak lagi memberikan sebarang makna.

''Memandangkan kami akan berada di sana, kami tidak akan sia-siakan peluang untuk menguji keupayaan sebenar skuad ini dengan memberi tentangan sengit kepada UAE,'' ujarnya.

Namun, beliau enggan mendedahkan sama ada akan menggunakan strategi bertahan atau menyerang dalam perlawanan itu nanti.

''Itu adalah rahsia taktikal, bagaimanapun kami akan positif dan tidak akan gentar terhadap reputasi UAE,'' katanya.

Mancini yakin ubah nasib Man. City

Pengurus Manchester City, Roberto Mancini berharap kejayaan yang dikecapinya di Itali dapat diterjemahkan kepada kelab barunya, apabila memulakan kempen Pusingan Ketiga Piala FA menentang Middlesbrough hari ini.

Dia baru sahaja membimbing kelab Eastlands itu memenangi dua perlawanan awal di dalam kempen Liga Perdana England selepas menggantikan Mark Hughes yang dipecat.

Mancini ternyata mempunyai rekod cemerlang di dalam pertandingan kalah mati di Itali dengan memenangi Piala Itali, enam kali sebagai pemain dan empat kali selaku pengurus di tiga kelab berbeza iaitu Lazio, Fiorentina dan Inter Milan.

Dia juga berjaya memenangi kejuaraan liga bagi tiga tahun berturut-turut di antara musim 2003/04 hingga 2005/06 bersama Inter Milan.

Menurutnya, beliau yakin hasil pengalamannya sebelum ini mampu memberikan kejayaan pertama semenjak tahun 1976 kepada pemilik Man.City, Sheikh Mansour, jutawan dari Abu Dhabi.

''Kami cukup teruja dengan Piala FA dan saya tahu di England, ia merupakan satu pertandingan yang cukup penting."

''Di Itali, kebanyakan pasukan tidak memberi perhatian serius kepada persaingan piala kalah mati kecuali jika sudah melangkah ke peringkat separuh akhir, namun di sini ia ternyata berbeza.

''Adalah menjadi sesuatu yang hebat jika saya dapat membawa kejayaan kepada Man. City, sepertimana pengalaman saya memenangi Piala Itali sebelum ini," katanya.

Namun, tegasnya bagi mencapai misi itu, skuadnya perlu terlebih dahulu memenangi perlawanan menentang Middlesbrough.

Man. City kini berdepan dengan masalah kecederaan pemain yang cukup serius dan mereka bakal kehilangan beberapa tonggak penting Joleon Lescott, Wayne Bridge, Nedum Onuoha, Roque Santa Cruz dan Stephen Ireland apabila membuat kunjungan ke Riverside.

Sementara itu, Kolo Toure dan Emmanuel Adebayor akan mewakili negara masing-masing di kejohanan Piala Negara Afrika.

Bagaimanapun, Mancini enggan mengalah dengan situasi tersebut walaupun ia mungkin akan memberi kesan yang kurang baik untuk menghadapi pusingan awal Piala FA.

''Kami memang tidak memiliki skuad yang besar jadi beberapa orang pemain muda di dalam skuad ini yang telah berlatih bersama skuad utama mungkin akan diberi peluang beraksi," katanya. - AFP

Friday, January 1, 2010

'Saya lelaki sejati'


KUALA LUMPUR: “Saya lelaki sejati dan tidak pernah terfikir untuk menjalin hubungan songsang dengan kaum sejenis apatah lagi golongan lelaki lembut. Cinta saya hanya untuk Ayu Raudhah.

“Alhamdulillah biarpun ada pihak cuba menabur pelbagai fitnah terhadap hubungan kami, cinta kami tetap utuh. Semoga percintaan kami berkekalan hingga ke jenjang pelamin,” kata pemain bola kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abdul Razak, 22 mengenai tuduhan kononnya dia ada ‘kekasih gelap’.

Berikutan gosip itu Ayu yang juga adik kepada pelakon jelita, Rozita Che Wan, didakwa menyerang kekasih gelap Zaquan itu baru-baru ini pada majlis hari jadi yang dihadiri rakan terdekat.

“Sepanjang minggu lalu saya tidak menghadiri sebarang majlis hari jadi dan Ayu juga sibuk menjalani penggambaran drama di Tapah. Jadi bila masanya kami terbabit dengan insiden itu,” katanya.

Tegas Zaquan tuduhan itu mengaibkan diri dan keluarganya, serta bimbang akan menjejaskan kerjaya bola sepaknya.

Menurutnya, sejak tersiarnya berita itu menerusi temu bual dengan Ayu Raudhah, pagi ini (semalam) dia terima banyak panggilan telefon.

“Saya terima ratusan panggilan telefon daripada kawan dan keluarga bertanya kesahihan berita itu. Mungkin dengan kedudukan saya sebagai insan yang dikenali ramai dan berkawan pula dengan pelakon popular, saya dapat menerima cerita itu sebagai gosip tetapi macam mana dengan keluarga saya.

“Tentu mereka tertekan apabila tersiarnya pelbagai cerita buruk mengenai anak mereka. Pagi (semalam) saya dan rakan sepasukan bermesyuarat dan dengan tersiarnya berita itu membuatkan saya berasa kurang selesa kerana ramai bertanya.

“Terus terang, saya tidak pernah menjalin hubungan songsang atau pernah ada kekasih lain. Saya adalah lelaki sejati dan berharap dapat berkongsi hidup ini dengan wanita yang dicintai. Ayu ada menghubungi saya bercerita mengenai perkara ini dan memang saya terkejut. Seingat saya, jika ada kelapangan saya selalu bersama Ayu jadi tidak patut timbul cerita saya ada kekasih gelap dan amat mengaibkan ‘awek’ yang dimaksudkan itu kaum sejenis saya,” katanya.

Menurut Zaquan, dia rasa dia tahu orang yang menyebarkan fitnah itu dan berharap segera hentikannya. Sebelum ini ada wanita mengaku sebagai teman wanitanya dan Ayu dikatakan penyebab terputusnya hubungan cinta mereka.

“Mujur Ayu faham dan kenal siapa saya. Dia sendiri menceburi bidang glamor yang sentiasa menjadi perhatian masyarakat dan sudah biasa berhadapan dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan orang ramai. Jadi apabila tersebarnya cerita seperti ini Ayu tidak melatah dan setiap perkara yang timbul kami bincang bersama.

“Saya berharap dengan penjelasan ini jangan ada lagi pihak yang menabur fitnah keterlaluan memalukan saya dan keluarga. Apapun jua, saya dan Ayu kena banyak bersabar dan tiada gunanya kami melenting kerana perkara itu tidak benar.

“Cuma saya kasihan ayah dan emak, tentu mereka tidak senang duduk sekarang. Bagaimanapun saya sudahpun menjelaskan perkara sebenar pada mereka,” katanya.

Siapa lebih hebat?


BAIK Negeri Sembilan mahupun Selangor, kedua-dua pasukan itu telah membuktikan kehebatan mereka pada saingan Liga Malaysia (Liga M) 2009.

Tatkala Negeri Sembilan melakar sejarah tersendiri dengan muncul juara Piala Malaysia, Selangor pula meraih tiga gelaran, Liga Super, Piala FA dan Piala Sumbangsih.

Kini, kedua-dua pasukan itu berpeluang membuktikan kehebatan mereka sekali lagi apabila bakal berentap pada perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah 2010.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandi- ngan Tempatan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Che Mat Jusoh berkata, aksi pembuka tirai Liga Super 2010 itu akan berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada pukul 8.45 malam 9 Januari ini.

"Harga tiket perlawanan ditetapkan untuk dewasa RM15 bagi tempat berbumbung dan RM8 tempat terbuka manakala kanak-kanak RM8 untuk tempat berbumbung dan RM4 tempat terbuka.

"Tiket-tiket akan mula dijual di Wisma Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) dan stadium pada 8 Januari," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pengelola perlawanan Piala Sumbangsih 2010 di Kelana Jaya semalam.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad; Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Hamidin Mohd. Amin dan Setiausaha Eksekutif PBNS, Datuk Ibrahim Shamsudin.

Beliau berkata, pintu stadium akan mula dibuka pada pukul 5 petang pada hari perlawanan bagi membolehkan pihak polis dan keselamatan stadium membuat pemeriksaan bagi mengelak para penonton dari- pada membawa masuk barang lara- ngan ke dalam stadium.

Che Mat berkata, penyokong tuan rumah dan Selangor akan diasingkan. Pengasingan penyokong kedua- dua pasukan itu adalah mengikut pe- raturan pertandingan yang telah diputuskan oleh FAM bermula tahun ini.

Katanya, langkah itu diambil bagi memudahkan Lembaga Disiplin FAM untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana penyokong pasukan yang dikenal pasti sekiranya berlaku kekecohan.

"Maknanya tidaklah semata-mata tanggungjawab ini terletak di tangan tuan rumah sahaja. Ini adalah untuk kebaikan bersama supaya perlawanan berjalan lancar.

"Harapan kami agar kekecohan di stadium yang berlaku sebelum ini tidak akan berulang lagi," katanya.

Beliau turut berharap agar pihak keselamatan terutama pihak polis dapat memperketatkan kawalan dengan menempatkan anggota yang mencukupi pada malam itu nanti.

"Saya juga memohon kepada peminat bola sepak yang datang ke stadium supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan nanti dan mengikut arahan keselamatan pihak polis supaya tidak berlaku kekecohan dan se- bagainya," katanya.

Jose Mourinho bukan ancaman saya - Ancelotti


Pengurus Chelsea, Carlo Ancelotti (gambar) telah memberitahu Jose Mourinho supaya melupakan sahaja hasrat untuk kembali membimbing Chelsea dalam masa terdekat.

"Dia (Mourinho) perlu tunggu kerana pada masa ini, saya masih lagi pengurus Chelsea dan saya akan terus kekal di sini."

"Seperti yang kita tahu, Mourinho adalah jurulatih bagi Inter Milan dan dia bukanlah ancaman saya."

Ancelotti menambah, beliau tidak terkejut apabila mengetahui Mourinho yang juga jurulatih Inter Milan berhasrat untuk kembali ke England.

"Dia (Mourinho) telah bersama Chelsea selama tiga musim dan dia tahu mengenai perkembangan bola sepak di England dengan baik.

"Saingan Liga Perdana England adalah yang terbaik di dunia dan tidak mustahil semua jurulatih ingin berada di sini," tambah Ancelotti yang merupakan pengurus keempat Chelsea selepas Mourinho dipecat.

Mengulas aksi kalah mati Liga Juara-Juara bertemu Inter bulan depan, Ancelotti berkata: "Ia bukanlah satu undian yang baik tetapi saya sudah bersedia untuk menumbangkan Inter dan Mourinho."

PBSNT terpaksa bayar denda angkara penyokong Terengganu (Betuk ke?? atau sekadar mulut shj tuk Kaburkan mata org lain!!)

PERSATUAN Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) terpaksa membayar hukuman denda hampir RM100,000 akibat tindakan liar penyokong Terengganu sepanjang kempen Liga Malaysia (Liga M) 2009.

Setiausaha PBSNT, Abdullah Salleh berkata, pihaknya terpaksa membayar hukuman denda tersebut kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atas perbuatan penonton membaling mercun atau objek kepada pengadil atau pemain dari pasu- kan lawan.

"Kita berharap biarlah penonton atau penyokong dapat menjaga kela- kuan mereka kerana FAM akan menggandakan jumlah denda sekira- nya perbuatan itu berulang lagi pada musim baru ini," katanya.

Abdullah berkata, PBSNT telah membuat keputusan iaitu mulai musim 2010 ini, semua tiket untuk perlawanan Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia akan dijual di kaunter stadium.

Beliau berkata, langkah itu bagi mengelakkan tiket perlawanan palsu dijual kepada penonton oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Abdullah berkata, alat khas yang boleh mengesan kesahihan tiket akan ditempatkan di semua pintu masuk di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada setiap perlawanan nanti.

Menurut beliau, FAM mendapati tiket palsu berleluasa di beberapa buah negeri termasuk di Terengganu sejak beberapa tahun lepas.

"Jadi kalau ada peminat yang kena tahan di pintu masuk, kita tidak akan bertanggungjawab, dan kita harap peminat beli tiket di kaunter," kata- nya.

Abdullah menambah, PBSNT juga mengambil keputusan mengekalkan harga tiket iaitu RM10 untuk tempat terbuka dan RM20 untuk tempat berbumbung bagi kempen Liga M musim ini.

"Anggota pasukan keselamatan akan ditambah pada setiap perlawa- nan dan mereka tidak akan teragak- agak mengambil tindakan terhadap peminat yang membaling mercun atau objek ke tengah padang," jelas- nya.

Beliau berkata, PBSNT berjaya memperoleh hasil kutipan tiket sebanyak hampir RM100,000 pada saingan Liga Perdana musim lalu.

B-23 tambah yakin


Kemenangan besar 4-1 skuad bola sepak negara ke atas Syria, yang menduduki ranking jauh lebih baik berbanding Malaysia, adalah satu yang bukan mustahil.

Ketua jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal berkata, walaupun pada awalnya beliau sendiri agak terkejut dengan jumlah jaringan yang mampu dihasilkan pada perlawanan persahabatan kelmarin, namun itulah hakikat dalam dunia bola sepak.

‘‘Inilah bola sepak. Kadang kala keputusan seperti ini memang boleh berlaku. Memang kita tidak menjangka mampu menang besar, tetapi inilah hakikatnya,’’ katanya.

Berdasarkan ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Syria berada pada kedudukan ke-91 dunia dan ke-12 di Asia.

Ia jauh lebih baik berbanding skuad bola sepak Malaysia yang menduduki ranking ke-160 dunia dan ke-33 di peringkat Asia.

Namun, di atas padang lain pula yang berlaku apabila skuad Rajagobal mendominasi perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, kelmarin.

Tanpa diduga, skuad emas Sukan SEA XXV Laos ternyata bukan tandingan Syria apabila menang menerusi dua penalti oleh Shafiq Rahim di kedua-dua babak ditambah jaringan Zaquan Adha Abdul Razak pada minit ke-77 dan K. Gurusamy pada minit ke-90.

Pasukan lawan memperoleh jaringan sagu hati juga menerusi sepakan penalti pada minit ke-63.

Walaupun apa pun penilaian peminat terhadap kekuatan sebenar lawan Malaysia kelmarin, Rajagobal tetap menganggap ia kemenangan yang diperlukan menjelang perlawanan kelayakan Piala Asia 2011 menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 6 Januari ini.

‘‘Kemenangan ini memberikan pemain keyakinan kepada pemain untuk berdepan UAE pada perlawanan Piala Asia nanti.

‘‘Saya memang mengharapkan prestasi skuad ini konsisten.

‘‘Kita menang ke atas Syria kerana berjaya menghasilkan gerakan-gerakan yang bagus.

‘‘Saya bangga kerana para pemain meneruskan persembahan menyakinkan setelah berjaya membawa pulang pingat emas Sukan SEA XXV.

‘‘Namun, dalam masa yang sama harap para peminat bersabar kerana perjuangan kita masih jauh.

‘‘Ada masa kita menang, jadi apabila kalah, para peminat kenalah terima bahawa ia adalah adat perlawanan,’’ katanya.

Peluang Malaysia untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2011 sukar apabila gagal mengutip sebarang mata dalam Kumpulan C yang dihuni oleh Uzbekistan dan UAE.

Satu-satunya peluang untuk layak ke pusingan akhir ialah dengan menang besar ke atas UAE.

Selepas itu, Malaysia terpaksa mengharapkan UAE pula kalah besar apabila berdepan Uzbekistan.