Sunday, July 3, 2011

Congak Stategi terbaik


KEBIJAKSANAAN ketua jurulatih negara, Datuk K Rajagobal mengatur strategi sekali lagi diperlukan untuk membolehkan Harimau Malaya menamatkan badi 34 tahun gagal mara ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia.

Selepas kejayaan membimbing skuad bawah 23 tahun menamatkan penantian 20 tahun untuk memenangi pingat emas Sukan Sea pada 2009 dan meleburkan penantian 14 tahun untuk memenangi Piala AFF 2010 buat kali pertama, jurulatih itu sekali lagi memikirkan strategi terbaik untuk memerangkap Taiwan pada aksi timbal balik pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014, malam ini.

Percaturan yang berkesan diperlukan untuk membolehkan Harimau Malaya mempertahankan kelebihan jaringan selain sentiasa bersedia mengasak kubu lawan bagi mencari gol tambahan yang boleh memudahkan lagi tugas untuk menyingkirkan Taiwan yang melaungkan keyakinan tinggi selepas mencuri satu gol ketika tewas 1-2, Rabu lalu.

Beliau bagaimanapun dilihat tidak boleh memilih untuk mengamalkan corak permainan bertahan sepenuhnya ketika lawan hanya memerlukan kemenangan 1-0 untuk memastikan kemaraan mereka ke pusingan kedua menentang Singapura yang mendapat bye.

Yang pasti beberapa pertukaran pemain akan berlaku terutamanya di barisan pertahanan yang dianggap Rajagobal ‘tidur’ pada separuh masa kedua sehingga membiarkan lawan meraih gol penting ketika perlawanan menuju ke penghujung.

Pemain pertahanan kental, Mahali Jasuli dijangka mengisi posisi pertahanan kanan menggantikan Helmi Remeli yang jelas gugup pada aksi pertama Rabu lalu selain elemen kejutan yang dijangka diteruskan oleh Rajagobal kerana masih mempunyai sejumlah pemain yang mampu beraksi dengan baik dalam kesebelasan utama.

Antaranya tiga tonggak Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat, Norshahrul Idlan Talaha dan S Chanthuru, selain pemain pertahanan, Mohd Muslim Ahmad dan pemain sayap lincah, Mohd Ashaari Shamsuddin.

Percaturan paling menarik adalah bahagian sayap yang dilihat menjadi kelebihan Harimau Malaya selama ini untuk membuka ruang mencipta jaringan berikutan kehadiran beberapa pemain yang mempunyai larian yang pantas, kemahiran yang menarik serta keyakinan tinggi seperti S Kunanlan, Chanthuru, Mohd Ashaari dan Mohd Amirulhadi Zainal.

Malah Harimau Malaya berkemungkinan turun dengan ‘wajah baru’ dengan beberapa pertukaran drastik untuk mengejutkan ketua jurulatih Taiwan, Lo Chih-Tsung yang tampak berkeyakinan tinggi mencipta kemenangan.

Kunanlan yang mempunyai larian pantas, bersedia menggalas sebarang tugas diberikan Rajagobal terutamanya dalam mengucar-kacirkan pertahanan lawan seperti yang dilakukan pada aksi pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Rabu lalu.

“Saya juga bersedia sekiranya jurulatih mahu menggunakan saya (larian pantas) untuk melakukan serangan balas seperti di Piala AFF sebelum ini. “Benteng pertahanan Taiwan tidaklah sekukuh yang disangka, mereka boleh dibolosi,” kata pemain berusia 25 tahun itu dengan penuh keyakinan.

Mengenai corak permainan Harimau Malaya yang dilihat sedikit menurun, Kunanlan berkata ia mungkin berpunca daripada ketiadaan pertandingan kompetitif sejak awal tahun ini.

Harimau Malaya memenangi aksi pertama dengan keputusan 2-1 sekali gus dilihat sebagai tugas yang sukar berikutan lawan hanya memerlukan kemenangan 1-0 pada pertemuan timbal balik

No comments:

Post a Comment