Sunday, July 3, 2011

'Faktor X' ancam Harimau Malaya

Pemain Taiwan yang berpangkalan di Eropah, Xavier Chen mampu menambahkan kegusaran jurulatih Datuk K. Rajagobal pada perlawanan kedua pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia di Taipei, hari ini.

Xavier, 27, boleh diumpamakan 'Prof. X' yang menjadi adiwira filem dan komik terkenal, X-Men yang mencetuskan misteri dengan penampilan pertama bersama Taiwan hari ini, setelah tidak sempat beraksi ketika Malaysia menang 2-1 di Bukit Jalil, Rabu lalu.

Ketika itu, dia baru sahaja mendapat kebenaran bermain daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Namun pemain pertahanan kanan yang beraksi dengan kelab di Belgium itu, disebut-sebut bakal mencetuskan kesukaran buat barisan penyerang skuad negara pada perlawanan di Stadium Perbandaran Taipei hari ini.

Sejauh mana keserasian bekas ketua pasukan Bawah 19 Belgium itu dengan rakan sepasukan, mencetuskan tanda tanya.

Ini kerana Xavier kurang fasih bertutur bahasa Mandarin dan baru mendapat kerakyatan, Mei lalu biarpun memiliki pengalaman beraksi untuk KV Mechelen dan berguru di Akademi RSC Anderlecht.

"Mungkin masalah komunikasi di padang tetapi saya sudah belajar dan memahami beberapa perkataan penting Mandarin untuk memudahkan permainan dan keserasian saya," kata pemain itu yang pernah bersama KV Kortrijk pada 2003.

Mengulas kehadiran 'watak baru' dalam skuad Taiwan, K. Rajagobal berkata: "Kehadirannya merupakan satu cabaran buat kami dan boleh jadi kelebihan pihak lawan atau pun kita. Dia baru kali pertama bermain dengan Taiwan dan mungkin tidak begitu arif seperti mana rakan sepasukannya yang telah bermain di Bukit Jalil mengenai corak permainan pasukan kita (dalam perlawanan pertama).

"Namun walau siapa pun yang tuan rumah turunkan, apa yang lebih penting ialah bagaimana cara kita beraksi esok (malam ini demi merebut tempat ke pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia menentang Singapura, 23 dan 28 Julai)," katanya.

Menyertai Xavier nanti ialah Victor Chou, 19, pertahanan tengah atau pemain tengah kelahiran Sepanyol dan berpengalaman mewakili pasukan Divisyen B Segunda, UD Salamanca.

Pemain itu cuma memanaskan bangku simpanan pada aksi Bukit Jalil yang dimenangi Malaysia 2-1 menerusi jaringan Safiq Rahim dan Aidil Zafuan Radzak.

Sementara itu, Rajagobal masih mahu menunggu sehingga perlawanan pukul 7 petang ini (waktu Malaysia) untuk menentukan siapa penjaga gol utama yang direbut sengit oleh tiga pemain, Sharbinee Allawee Ramli, Khairul Fahmi Che Mat, yang baru pulih daripada kecederaan bahu dan Nasril Nourdin.

"Apabila kita ada banyak pilihan pemain, ia satu perkembangan baik bagi pasukan kerana semua bersaing sengit bagi satu posisi penting ini. Saya juga akui prestasi Sharbinee memberangsangkan (pada aksi di Stadium Nasional, Rabu lalu) namun kita akan terus bergantung kepada prestasi semasa," katanya.

Ahmad Fakri Saarani yang disebut-sebut akan digandingkan semula dengan Abdul Hadi Yahya ekoran ketiadaan Safee Sali yang tercedera berkata: "Saya berjanji untuk mengurangkan kesilapan mensia-siakan peluang gol pada perlawanan pertama itu, saya akan cuba mendapatkan gol awal kita."

Kali terakhir penyerang Negeri Sembilan kelahiran Kota Bharu, menyumbat gol skuad negara sepanjang tahun ini ialah ketika perlawanan persahabatan diikat 1-1 oleh kelab Perancis, Etoile FC di Singapura, Februari lalu.

No comments:

Post a Comment