Tuesday, July 5, 2011

Brazil hambar

Juara bertahan Brazil sekadar seri 0-0 dengan Venezuela pada perlawanan pertama Kumpulan B kejohanan Copa America semalam selepas mereka dinafikan sepakan penalti dan percubaan terbaik Alexandre Pato pula sekadar singgah di palang.

“Ini langkah permulaan untuk melakar sejarah dan kami pastinya akan mengingati perlawanan ini,” kata penyerang Venezuela, Nicolas Fedor selepas menyaksikan pasukannya meraikan keputusan seri bagaikan mencatat kemenangan.


Venezuela terselamat selepas keputusan kontroversi pengadil Bolivia, Raul Orosco tidak memberikan sepakan penalti kepada Brazil biarpun bola terkena tangan dalam kotak penalti di hujung babak pertama.

Penjaga gol, Renny Vega berjaya menepis percubaan itu namun bola lantunan itu dirembat Robinho sehingga memaksa pemain pertahanan, Oswaldo Vizcarrondo menghalang dengan badannya.


Namun bola sepakan Robinho itu nampak seperti terkena tangan sebelum terkeluar dan pengadil hanya memberikan sepakan penjuru.


Brazil mendominasi babak pertama dan Pato melepaskan rembatan kencang terkena palang pada minit ke-38.

Asakan bertali arus dilancar pemain Brazil untuk memberi tekanan kepada pertahanan Venezuela dengan Neymar beraksi di bahagian sayap bergandingan dengan pemain pertahanan kiri, Andre Santos manakala Daniel Alves pula mengasak di bahagian kanan dan Robinho memberi ancaman di tengah.


Venezuela beraksi lebih baik pada babak kedua dengan kedua-dua pasukan memiliki peluang seimbang namun gagal memecahkan kebuntuan.

Pemain pertahanan kiri Gabriel Cichero membuat hantaran lintang dan berjaya ditanduk kemas Fedor namun penjaga gol, Julio Cesar, antara beberapa pemain skuad Piala Dunia Brazil tahun lalu yang kekal, berjaya menghalang percubaan itu.


Kemudian penyerang Salomon Rondon yang mendapat lorongan bola daripada Arango kerana tidak mahu memberi peluang kepada Fedor yang tidak dikawal sebaliknya dia membuat keputusan menggelecek Lucio di sebelah kiri sebelum terjatuh sehingga dilayangkan kad kuning kerana sengaja menjatuhkan badan.


“Saya fikir mereka bukan lagi pasukan yang mudah ditewaskan. Ini perlawanan 11 pemain menentang 11 pemain dan semua orang ada peluang,” kata Julio Cesar

No comments:

Post a Comment