Monday, September 20, 2010

The Red Warriors Amat Mengecewakan

Kekecewaan dan kemarahan saja yang mampu diluahkan oleh peminat The Red Warriors seluruh dunia kerana purata bolos setiap perlawanan telah mengatasi kejayaan pasukan mengekalkan kadar bolos dalam TM Liga Super 2010. Seri pada 2 minit masa tambahan setelah menang 3-1 20 minit terakhir amat menyedihkan. Apa sudah jadi dengan pemain Kelantan? Adakah telah merasa selesa atau tidak berpuas hati dengan populariti, bonus dan gaji yang diperolehi sehingga sering dilihat tidak konsisten dalam setiap perlawanan?

Kealpaan barisan pertahanan dan penjaga gawang nyaris memberi aib kepada pasukan dan penyokong di tempat sendiri, nasiblah wisel penamat perlawanan ditiupkan. Kesalahan ini tidak harus ditanggung oleh penjaga gawang sahaja, keputusan ini perlu ditanggung oleh semua pemain yang beraksi pada malam tadi.

Kerisauan dan kegugupan Syed Adney di gelanggang sendiri kerana kefanatikan penyokong seperti diberitahunya sebelum ini terbukti ada kebenarannya apabila melepaskan gol-gol mudah diminit akhir perlawanan. B. Sathianathan harus peka dengan masalah yang dihadapi Syed Adney ini, mungkin boleh meletakkan Khairul Fahmi sebagai penjaga gawang utama di stadium sendiri dan meletakkan Syed Adney untuk penjaga gawang pilihan di gelanggang lawan sekiranya Khairul Fahmi tidak mampu memikul tugas utama ini.

Ramai peminat yakin dan percaya tugas penjaga gol utama sudah sepatutnya dikembalikan kepada Khairul Fahmi kerana beliau telah berjaya membuktikan beliau antara penjaga gol terbaik di Malaysia pada tahun ini. Kekaguman peminat pada aksi Khairul Fahmi berdasarkan aksi yang dipamerkan sepanjang TM liga super 2010.

Seluruh Penyokong Kelantan menyeru Presiden KAFA Tan Sri Annuar Musa menegur dan memperbaiki kelemahan prestasi yang dilihat sejak perlawanan pertama, kedua dan ketiga ini, seolah-olah pasukan yang ada ini baru sahaja dibentuk dan memerlukan suntikan ajaib bagi setiap perlawanan. Jika dilihat pada prestasi pemain sekarang, ramai yang sinis Kelantan tidak akan mampu melangkah ke perlawanan separuh akhir pun, jika mampu melangkah ke final pun mungkin memerlukan satu ramuan tonik ajaib diberikan pada setiap pemain. Peminat setia The Red Warriors juga menyeru pihak KAFA segera menyelesaikan masalah dalaman pemain yang kini kembali hangat diperkatakan di kedai-kedai kopi seolah-olah mengiyakannya apabila melihat keputusan perlawanan Kelantan sejak piala Malaysia bermula.

Semua penyokong akan terus setia bersama The Red Warriors ketika menang, seri atau kalah tetapi penyokong akan terus mengkritik seluruh pemain selagi aksi dan prestasi sebenar tidak dipamerkan. Seri atau kalah biarlah sebagai wira bukannya kalah seperti yang berlaku sekarang. Kembalikan semangat The Red Warriors.......Apa sudah jadiiiiiiiii?

No comments:

Post a Comment