Monday, September 20, 2010

Akmal Rizal, Syed Adney Dijulang


KOTA BHARU – Andai ada pemain yang boleh dijulang pada perlawanan malam semalam, sudah pasti dua nama bekas pemain skuad kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Syed Adney Syed Hussien harus dijulang sebagai wira sebenar pasukan Kelantan pada perlawanan menentang Selangor PKNS FC di Kelana Jaya, malam semalam.

Jaringan tunggal bekas penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli pada minit ke-73 sudah cukup memastikan pasukan The Red Warriors membawa pulang tiga mata berharga ke Kota Bharu.

Akmal Rizal, pemain yang berumur 29 tahun, dikritik hebat kerana prestasi terumbang-ambing sebelum ini, melenyapkan suara sumbang apabila hadir tepat pada masanya membantu Kelantan melakar kemenangan bermakna di Kelana Jaya.

Pemain yang menjaringkan tiga gol sepanjang saingan Liga Super musim ini diberi peluang beraksi ketika perlawanan menentang Negeri Sembilan tempohari di Kota Bharu, namun digantikan dengan Hairuddin Omar dalam separuh masa pertama kerana gagal menunjukkan persembahan yang meyakinkan.

Namun begitu, sentuhan pemain yang pernah berguru dengan kelab Strasbourg FC, di Perancis itu tetap dalam perancangan Ketua Jurulatih, B Sathianathan yang turut membawa beliau ke Kelana Jaya.

Jelas ketajaman sentuhannya di depan gol adakalanya tidak diduga, walaupun sekadar diberi peranan sebagai ‘supersub pada satu-satu masa oleh pihak pengurusan Kelantan.

Sementara itu, Syed Adney Syed Hussien, penjaga gol yang dibelenggu krisis keyakinan kerana melepaskan gol mudah ketika pertemuan Liga Super menentang Kedah lapan bulan lalu juga harus diangkat sebagai wira sebenar dalam perlawanan malam semalam.

Kecemerlangan beliau menyelamatkan sepakan penalti oleh pemain tuan rumah, Mohd Fadhil Mohd Hashim pada minit-minit akhir perlawanan menyelamat maruah pasukan Kelantan daripada dipaksa seri oleh Selangor PKNS FC dalam perlawanan itu.

Ketangkasannya menjaga gawang gol Kelantan memungkinkan beliau terus diberi kepercayaan oleh B Sathianathan walaupun beliau diberi saingan hebat oleh penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat ketika ini.

Syed Adney ketika dihubungi berkata, beliau cukup gembira kerana dapat membantu pasukan Kelantan mengutip tiga mata penting pada perlawanan itu.

“Kemenangan malam semalam adalah kerana kerja keras secara berpasukan. Semua pemain mahu membuktikan sesuatu pada perlawanan itu, dan saya tidak harus ketinggalan menyumbang kepada kejayaan pasukan Kelantan.

“Saya berharap kemenangan malam semalam menjadi titik tolak kepada kebangkitan prestasi pasukan Kelantan dalam menghadapi perlawanan akan datang. Semua pemain harus dianggap sebagai wira dalam perlawanan itu,” katanya.

No comments:

Post a Comment