Monday, August 23, 2010

Wan Jamak puas hati prestasi Ragesh

JUARA bertahan, Negeri Sembilan berhasrat mendapatkan satu atau dua pemain penyerang bagi memantapkan lagi barisan depan skuad itu menjelang sepak mula Piala Malaysia, 14 September depan, menguji kapten pasukan Johor, S Ragesh pada perlawanan persahabatan menentang Felda United, di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Jumaat lalu.
Jurulatih Wan Jamak Wan Hassan bagaimanapun belum membuat keputusan muktamad sama ada menyerapkan pemain itu atau tidak.


Beliau bagaimanapun berpuas hati komitmen ditunjukkan pemain terbabit sekalipun gagal menjaringkan gol pada perlawanan berkesudahan seri 3-3.


“Ragesh diletakkan sebagai penyerang dan berjaya memberikan persembahan baik pada perlawanan itu tapi keputusan sama ada diserapkan dalam pasukan belum diputuskan lagi kerana ia ditentukan pihak pengurusan.


“Bagaimanapun saya puas hati dengan persembahannya terutama dari segi hantaran bola dan kerjasama sepasukan tapi dia perlu menunjukkan persembahan lebih baik pada perlawanan persahabatan bertemu Angkatan Tentera Malaysia, malam ini,” katanya.


Negeri Sembilan diletakkan dalam Kumpulan A bersama Kelantan, KL Plus dan PKNS dan sepanjang Liga Super lalu, skuad Hobin Jang Hobin menyandarkan harapan kepada Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak dan Norizam Salaman mengemudi barisan depan.


Wan Jamak mencuba beberapa strategi menilai keberkesanan pemain tapi mengaku terdapat beberapa kelemahan perlu diberi perhatian. bagi memastikan persembahan lebih mantap dipamerkan.


Dia mahu memberi peluang kepada pemain menunjukkan komitmen sebelum menyenaraikan kesebelasan utama menjelang pertemuan dengan Kelantan di Kota Bharu, 14 September ini.


Menurut Wan Jamak, ketiadaan tiga pemain utama Mohd Aidil Zafuan, Zaquan dan S Kunalan yang bersama skuad kebangsaan, menyukarkannya mengatur strategi.


“Saya bimbang keserasian antara mereka kerana tiga pemain itu hanya dapat berlatih bersama beberapa hari sebelum Aidil Fitri,” katanya.

No comments:

Post a Comment