Tuesday, August 24, 2010

Terengganu sasar juara musim in

KUALA TERENGGANU - Terengganu berusaha menebus kegagalan ke perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu, dengan mengatur strategi bagi mencerahkan harapan ke pentas final.

Pengurusnya, Sheikh Ahmad Tajuddin Sheikh Yusoff berkata, berada di kedudukan ketiga Liga Super baru-baru ini meletakkan keupayaan skuad penyu pada tahap seimbang.

''Musim sebelum ini, kita tersangkut di peringkat separuh akhir Piala Malaysia, jadi kita hendak memastikan kita tidak mengulanginya pada musim ini.

''Kita akan melaksanakan pendekatan untuk mengatasi lawan peringkat demi peringkat, bermula dengan peringkat kumpulan sehingga mencapai kejuaraan dalam Piala Malaysia," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau berkata, bagi memastikan kejayaan tersebut, barisan pemainnya tetap mengadakan latihan seperti biasa, walaupun ketika ini umat Islam mengerjakan ibadat berpuasa.

''Jadual latihan telah ditetapkan oleh jurulatih, Irfan Bakti namun kita tetap adakan latihan pada waktu siang.

Beliau menambah, pasukan Terengganu juga akan mengadakan beberapa sesi perlawanan persahabatan dengan T-Team, dalam usaha menajamkan permainan mereka dalam Piala Malaysia nanti.

''Terengganu kini berada di kedudukan baik, selepas mencapai tempat ketiga dalam Liga Super baru-baru dan perlawanan persahabatan berkenaan akan membantu mereka terus berada dalam prestasi berkenaan," ujarnya.

Katanya, perlawanan itu dijangka diadakan bermula pukul 10 malam iaitu selepas selesai solat terawih.

''Kita adakan latihan seperti biasa bagi memastikan tahap kecerdasan dan kemahiran pemain tidak menurun sepanjang bulan berpuasa," katanya.

No comments:

Post a Comment