Thursday, August 26, 2010

Puas Hati Kecergasan Pemain – Sathia


KOTA BHARU – Lulus ujian dengan jayanya. Begitu komen Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan apabila ditanya mengenai tahap kecergasan pemain Kelantan sepanjang hampir tiga minggu tanpa latihan sejurus saingan Liga Super berakhir awal bulan ini.

“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan tahap kecergasan para pemain Kelantan walaupun hampir tiga minggu tanpa latihan dan pemantauan daripada saya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Nampak gayanya semua pemain melakukan ‘kerja rumah’ yang saya berikan dengan baik. Sudah pasti saya gembira kerana mereka tidak duduk diam walaupun berehat panjang tanpa latihan.

“Dalam mengharungi bulan puasa ini, sudah pasti mereka perlu mengekalkan tahap kecergasan kerana saingan kempen Piala Malaysia sebenarnya tidak lama lagi akan bermula.

Sebaik saingan liga berakhir pada 3 Ogos lalu, hampir sebahagian besar pemain Kelantan musim ini berangkat ke Tanah Suci Mekah bagi mengerjakan ibadah umrah sebelum kembali ke tanah air pada 18 Ogos lalu.

Sathianathan berkata, tahap kecergasan bukan sekadar boleh dikekalkan kepada latihan sahaja malahan para pemain perlu didedahkan dengan perlawanan-perlawanan persahabatan.

“Sebab itu saya mengaturkan tiga siri perlawanan persahabatan kepada pemain Kelantan dalam seminggu bermula minggu depan. Jadi, para pemain harus mengambil peluang mengekalkan tahap kecergasan pada perlawanan itu.

Menurut Sathianathan, tidak ada gunanya bagi beliau menjalani latihan harian pada sebelah petang sebelum waktu berbuka puasa kerana para pemain sudah semestinya tidak mempunyai tenaga yang mencukupi menjalani latihan itu.

“Tak masuk akal bagi saya untuk mengarahkan para pemain menjalani latihan pada sebelah petang sepanjang bulan puasa ini. Saya lebih pentingkan kecergasan dan stamina para pemain.

“Sebab itu saya lebih suka memilih latihan pada waktu malam, kita bermula pun sekitar jam 10 atau 11 malam. Para pemain tentunya sudah mendapat tenaga yang cukup dan ‘mood’ pemain juga sudah pasti dalam keadaan ceria menjalani latihan,” katanya.

Skuad Kelantan sudah pun turun menjalani latihan insentif setiap malam bermula 20 Ogos lalu sebaik sahaja para pemain kembali ke tanah air sejurus melakukan ibadah umrah di Tanah Suci Mekah baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment