Wednesday, April 7, 2010

Jaguh tomoi dunia di Kelantan


PENYERTAAN tiga jaguh dunia Muay Thai bakal menghangatkan Kejohanan Tomoi Antarabangsa TM-WBC bagi merebut Piala Diraja Kelantan yang berlangsung selama tiga hari di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu bermula hari ini.

Tiga peserta handalan itu ialah Leonardo Amendoim Montero dari Brazil, Zidov Akuma (Croatia) dan Jay Woodhan (England).

Untuk rekod, Montero merupakan juara Muay Thai Dunia (WMC) selain menyandang gelaran Piala Raja Brazil dan Piala Sao Paulo.

Akuma pula juara Muay Thai Terbuka Perancis manakala Woodhan juara Muay Thai Terbuka England.

Kejohanan Tomoi Antarabangsa TM-WBC merupakan anjuran Persatuan Muay Thai-150 (M-150) Kelantan dengan kerjasama Telekom Malaysia (TM).

Pengurus Besar TM Kelantan, Abd. Rashid Che Othman berkata, kejohanan yang julung-julung kali diadakan di Kelantan itu bertujuan mempromosikan sukan tersebut di kalangan penduduk tempatan serta masyarakat antarabangsa.

Katanya, peminat sukan tomoi tempatan juga akan berpeluang menyaksikan kehebatan jaguh-jaguh sukan seni mempertahankan diri pada kejohanan yang cukup berprestij itu.

"Pada kejohanan tajaan TM kali ini, sebanyak 36 petinju dari dalam dan luar negara akan bertarung dalam beberapa kategori masing- masing.

"Terdapat tiga kategori yang akan dipertandingkan iaitu middleweight (68-70 kilogram), fetherweight (55-56kg) dan welterweight (60-62kg)," katanya pada sidang akhbar di Istana Balai Besar, Kota Bharu semalam.

Abd. Rashid berkata, peserta-peserta lain yang turut beraksi pada kejohanan itu ialah dari Thailand, Perancis, Belgium, Scotland, Sweden, New Zealand, Jepun, Laos dan Vietnam.

"Selain itu, pada kejohanan kali ini, kita mempertaruhkan petinju tempatan, Sing Sirip yang akan beraksi dengan Akuma bagi kate- gori middleweight," jelasnya.

Sementara itu, Presiden Majlis Tinju Dunia (WBC) Malaysia, Mohd. Fared Abdul Ghani berkata, kejohanan itu merupakan pertama kali dianjurkan oleh pihaknya di negara ini.

Katanya, semua perlawanan akan berlangsung mulai pukul 8.30 malam manakala tiket pula boleh dibeli di kaunter tiket stadium bermula pukul 12 tengah hari.

Tambahnya, tiket juga boleh didapati di kios TM yang telah disediakan di pusat beli-belah seperti KB Mall, Mydin, Tesco, The Store dan Billion.

Manakala mereka yang membeli kad prabayar telefon i-Talk akan dibekalkan tiket percuma.

"Harga tiga pada setiap hari perlawanan pada harga RM12 (dewasa) dan RM6 (kanak-kanak)," ujarnya yang juga Presiden M-150.

Mohd. Fared berkata lagi, Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra akan berangkat merasmikan kejohanan tersebut.

No comments:

Post a Comment