Tuesday, December 22, 2009

Skuad negara uji Syria


SKUAD bola sepak kebangsaan dijadualkan menentang Syria pada satu aksi persahabatan yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 2 Januari depan.

Ia sebagai aksi pemanas badan sebelum skuad negara bertandang ke Dubai untuk menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada aksi terakhir Kumpulan C saingan kelayakan Piala Asia 2011 pada 6 Januari depan.

Jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal berkata, aksi bertemu Syria yang kini menduduki ranking ke-91 dunia itu mungkin menjadi perlawanan ujian tunggal buat skuad negara sebelum bertandang ke UAE berasaskan faktor kesuntukan masa.

"Kami baru saja tiba dari Laos Sabtu lalu. Pemain masih keletihan dan ada juga di antara mereka yang sudah kembali berlatih bersama pasukan negeri masing-masing.

"Tapi mereka ini akan dipanggil semula untuk menjalani kem latihan pusat bermula Khamis ini sebagai persediaan menghadapi UAE pada 6 Januari depan," katanya kepada Kosmo! semalam.

Menurut Rajagobal, dia akan memanggil seramai 23 pelatih dengan majoritinya pemain-pemain bawah 23 tahun (B-23) yang baru saja memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 Laos minggu lalu dengan hanya dua pemain senior akan diselitkan.

"Seperti dua aksi kelayakan Piala Asia menentang Uzbekistan sebelum ini, saya hanya akan panggil dua pemain senior iaitu Norhafiz Zamani Misbah dan Amri Yahyah," jelasnya.

Biarpun harapan Malaysia untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia 2011 tampak hampir berkubur, pertemuan dengan UAE pada 6 Januari depan itu tetap dianggap penting demi menjaga maruah negara.

Pada perlawanan pertama di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 21 Januari lalu, skuad kebangsaan yang ketika itu dibimbing B. Sathianathan telah dibelasah teruk 5-0 oleh UAE.

Malaysia kini di tangga ketiga Kumpulan C dengan tanpa sebarang mata di belakang Uzbekistan (9 mata) dan UAE (3 mata).

No comments:

Post a Comment